Lanjut had umur bersara akan tingkatkan kadar pengangguran

Samsuddin Bardan
Samsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan melanjutkan had umur persaraan kepada 65 tahun didakwa bakal meningkatkan kadar pengangguran di kalangan pemuda di negara ini.

Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Samsuddin Bardan berkata, langkah tersebut pernah dilaksanakan kerajaan pada Julai 2013 dan menyebabkan kadar pengangguran meningkat.

"Di sektor swasta, kira-kira 200,000 pekerja bersara setiap tahun. Langkah berkenaan telah menyebabkan kira-kira satu juta peluang pekerjaan yang sepatutnya dikosongkan oleh mereka yang bersara pada umur 55 tahun telah luput.

"Bermula Julai 2013 hingga Jun 2018 ramai di kalangan pemuda tidak dapat pekerjaan sesuai dan kadar pengangguran adalah lebih tiga kali ganda. Jika umur bersara ditingkatkan kepada 65 tahun perkara sama akan berulang dan kadar pengangguran di kalangan pemuda akan menjadi lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Samsuddin turut mencadangkan agar kerajaan memberi pelepasan cukai berganda sebagai inisiatif menggalakkan majikan untuk mengambil pekerja yang telah bersara.

"Ia sebagai galakan kepada majikan untuk mengambil pekerja lebih 60 tahun," katanya.

Manakala beliau berkata, cadangan untuk memperkenalkan pemberian COLA minimum RM500 kepada pekerja pula hanya akan meningkatkan kos buruh kira-kira RM48 bilion setahun.

"Kos sedemikian yang tidak disokong oleh peningkatan produktiviti akan menyebabkan majikan kurang kompetitif dan kurang berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya ketika era Tun (Abdul) Razak (Hussein) sebagai Perdana Menteri, sektor swasta telah diminta dan telah membayar COLA dan ia diserap sebagai gaji pokok," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan teliti cadangan tingkat had umur persaraan