Tiga warga China serang pegawai Imigresen dihantar pulang

Dua daripada tiga warga asing yang ditahan selepas menyerang pegawai imigresen di KLIA2 kelmarin.
Dua daripada tiga warga asing yang ditahan selepas menyerang pegawai imigresen di KLIA2 kelmarin.
A
A
A

SEPANG – Tiga warga asing ditahan selepas bertindak menyerang dua pegawai Imigresen Malaysia ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam apabila warga asing terbabit diarah menunggu di ruangan berbeza untuk lelaki dan wanita di kawasan ‘Not To Land’ (NTL) KLIA2.

Warga asing terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warganegara China itu ditempatkan di situ kerana kemasukan ditolak mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 susulan tidak memenuhi syarat kemasukan dan tujuan kedatangan diragui.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kejadian berlaku apabila dua pegawai bertugas melihat dua lelaki warga China berada dalam kawasan ruangan menunggu wanita bersama seorang pelawat wanita yang juga warga China.

"Pegawai berkenaan telah meminta mereka beredar ke ruang menunggu lelaki.

"Bagaimanapun mereka enggan mengikut arahan, sebaliknya telah meninggikan suara dan bertindak agresif dengan menolak dan menumbuk dada hingga berlaku pergelutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pergelutan berjaya dileraikan namun kedua-dua pegawai terbabit mengalami kecederaan lebam dan luka kecil.

Katanya, susulan itu laporan polis dibuat bagi menjaga kepentingan jabatan dan semua warga asing berusia 28 hingga 33 tahun berkenaan dihantar pulang.

Artikel Berkaitan:

"Tiga warga asing itu juga akan disenarai hitam daripada memasuki negara ini," katanya.