Syarikat tempatan digalakkan guna logo 'Sayangi Sawitku'

Teresa bersama penanam sawit dan pekebun kecil memegang kad poster 'Sayangi Sawitku' dan 'Jom MSPO' selepas Majlis Taklimat MSPO Tanam Sawit Johor, hari ini. - Foto Bernama
Teresa bersama penanam sawit dan pekebun kecil memegang kad poster 'Sayangi Sawitku' dan 'Jom MSPO' selepas Majlis Taklimat MSPO Tanam Sawit Johor, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Syarikat-syarikat tempatan terutamanya yang mengeluarkan produk berasaskan kelapa dan minyak sawit digalakkan meletakkan logo 'Sayangi Sawitku' pada produk mereka dalam usaha mempromosikan komoditi itu di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, syarikat seperti FGV, sudahpun meletakkan logo itu pada kesemua produk mereka.

“Memang saya berharap lebih banyak syarikat, selain syarikat yang mengeluarkan minyak masakan dan produk makanan berasaskan sawit akan menggunakan logo ‘Sayangi Sawitku’.

“Kita harus bangga dengan apa yang kita keluarkan itu. Kita mahu industri sawit bertaraf ‘five star’ yang menghasilkan minyak dan produk bertaraf lima bintang,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) serta sesi dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Hotel Katerin, hari ini.

Beliau membidas tindakan sesetengah syarikat tempatan yang turut terikut-ikut dengan kempen negara-negara Eropah dengan meletakkan label ‘bebas minyak sawit’ pada produk-produk mereka apabila memasuki pasaran sana.

“Label bebas minyak sawit ini berlaku di pasaran Eropah, ia adalah satu taktik pemasaran, mereka (pengeluar produk dan makanan) menggunakan label itu berikutan sentimen anti minyak sawit di Eropah yang agak kuat, ini akan membantu melariskan produk mereka.

“Saya ingin menyeru syarikat-syarikat tempatan yang mengeluarkan produk untuk dieksport ke negara-negara barat, janganlah gunakan label ‘bebas minyak sawit’, kita sepatutnya berbangga kerana Malaysia adalah pengeluar sawit yang kedua terbesar di dunia,“ katanya.

Kerajaan menerusi kementerian dan pelbagai agensi lain telah berusaha keras untuk memperbaiki persepsi negatif terutamanya dari negara-negara Eropah yang giat mengaitkan pengeluaran kelapa sawit di Malaysia sebagai merosakkan alam sekitar sehingga menjejaskan populasi orang utan.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya turut memandang serius aduan mengenai produk-produk luar yang menggunakan label ‘bebas minyak sawit’ di pasaran Malaysia.

Mengenai pensijilan MSPO pula, sehingga 31 Julai ini, seluas 2.75 juta hektar atau 47 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan tersebut.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 128 daripada 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO melibatkan penyertaan 14,400 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 56,400 hektar.

Bagi negeri Johor sahaja, 36 daripada 43 SPOC telah dipersijilkan MSPO merangkumi 2,983 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 7,077 hektar. - Bernama