Roti jala Jalur Gemilang dapat sambutan

Rosmaliza meraih pendapatan lumayan hasil dari pembuatan roti jala Jalur Gemilang.
Rosmaliza meraih pendapatan lumayan hasil dari pembuatan roti jala Jalur Gemilang.
A
A
A

GUA MUSANG - Selama empat hari membuka tempahan, seorang usahawan dari daerah ini berjaya menjual hampir 30 tempahan roti jala bertemakan Jalur Gemilang.

Menurut Rosmaliza Che Isa, 38, dari Perumahan Kesedar Inn, di sini, setiap kotak yang dilengkapi dengan 70 biji roti jala itu dijual dengan harga RM35.

"Ini adalah tahun pertama saya memperkenalkan roti jala bertemakan bulan kemerdekaan. Alhamdulillah, tempahan yang diterima melebihi jangkaan kerana saya target lima tempahan sehari.

"Sejak 30 Ogos sehingga kini, saya masih menerima tempahan tema merdeka daripada pelanggan. Bukan sahaja roti jala, malah kuah kari juga turut ditempah bersama.

"Selain tempahan individu, saya juga menerima tempahan dari agensi dan jabatan kerajaan," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Rosmaliza berkata, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan makanan sejak 2012 dan pada 2014 dia mula memberi fokus kepada pembuatan roti jala.

"Selain roti jala biasa yang dijual dengan harga RM25 untuk 100 biji, saya juga memperkenalkan roti jala mengkuang berharga RM35 dan roti jala warna warni dengan harga RM30," katanya.

Katanya, setiap hari dia mengehadkan kepada 1,000 biji tempahan sahaja kerana kekangan kudrat.

Artikel Berkaitan:

"Ada ketika, tempahan melebihi dari 1,000. Saya akan beri tawaran kepada rakan-rakan niaga yang lain untuk memasarkan roti jala mereka," katanya.