Pas gesa PH bantu jayakan kempen ‘Beli Produk Muslim Dulu’

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menggesa kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) turut membantu menjayakan kempen ‘Beli Produk Muslim Dulu’.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kajian menunjukkan kempen menyokong produk Muslim akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas.

Jelasnya, ia pasti akan banyak membantu usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan usahawan luar bandar serta menjadikannya lebih berdaya saing.

“Di samping itu, ia akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia yang kini ramai tiada pekerjaan.

“Ia juga membawa kepada kitaran ekonomi ummah (termasuk bukan Islam) yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, wakaf dan seumpamanya.

“Justeru, Pas menggesa pihak kerajaan turut membantu menjayakan langkah yang murni ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menganggap pemahaman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang isu ‘Boikot Barangan Bukan Bumiputera' adalah kurang tepat.

“Bagi Pas, Kempen “Beli Produk Muslim Dulu” adalah suatu tindakan yang inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan dan harus dilihat secara positif,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Guan Eng menggesa UMNO dan Pas mengecam kempen memboikot perniagaan bukan Bumiputera.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom kempen bantu ekonomi Muslim

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan boikot berkenaan tidak berkesan dan hanya akan menyebabkan kemarahan.

"Jika Pas dan UMNO tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, mereka harus mengamalkan pendirian yang sama mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera seperti itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kempen yang bermula di media sosial itu menggesa golongan bumiputera memboikot produk yang dihasilkan oleh bukan bumiputera.

Kempen tersebut semakin mendapat sambutan apabila ramai rakyat Malaysia beragama Islam berkongsi senarai barangan Muslim dan bukan Muslim yang terdapat di pasaran.