Mangsa kebakaran Kampung Sungai Lembing tubuh jawatankuasa

Pusat Khidmat Dun Teruntum mengagihkan wang derma orang ramai kepada mangsa kebakaran. (Gambar kecil, Chon Siang)
Pusat Khidmat Dun Teruntum mengagihkan wang derma orang ramai kepada mangsa kebakaran. (Gambar kecil, Chon Siang)
A
A
A

KUANTAN - Kesemua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sungai Lembing di sini sepakat menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pembinaan Pembangunan Semula bagi membina rumah mereka di tapak asal.

Pengerusinya, U Yong Siew Meng, 43 berkata, jawatankuasa ini akan membawa suara mangsa untuk memohon kepada kerajaan Pahang agar pembinaan baharu rumah mereka lebih terancang dan teratur.

"Kami jawatankuasa telah menyerahkan surat kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Teruntum, Sim Chon Siang untuk membantu kami menyampaikan hasrat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya ketika ditemui di tapak kebakaran, hari ini.

Chon Siang ketika ditemui di lokasi berkata, pihaknya telah menerima surat permohonan daripada jawatankuasa tersebut.

"Hari ni mangsa kebakaran telah tubuhkan satu jawatankuasa. Saya akan cuba menyampaikan mesej mereka kepada Menteri Besar dan dapatkan status tempat ini.

"Buat masa ini apa yang kita tahu tempat ini tiada geran tanah. Apapun kita perlukan satu keputusan dari Menteri Besar Pahang terlebih dahulu.

"Kerajaan negeri perlu ambil serius perkara ini apatah lagi banyak bangunan sedemikian di Sungai Lembing. Tanah yang tiada geran menyukarkan mereka untuk mendapatkan perlindungan insurans," katanya.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum turut mengagihkan wang sumbangan mangsa kebakaran berjumlah RM11,500.

Artikel Berkaitan:

Chon Siang berkata, wang tunai itu berjaya dikumpulkan dalam masa sehari oleh penduduk DUN Teruntum dan diserahkan kepada mangsa kebakaran menerusi pusat khidmatnya berserta barangan keperluan seperti selimut, tuala dan sapu tangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Sungai Lembing: 30 rumah, dua bangunan selamat