Jurufoto disamun, muka ditutup kain pelikat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang jurufoto sebuah perbadanan rugi ribuan ringgit selepas dipercayai disamun ketika berada di Putrajaya Sentral, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi ITU, mangsa dikatakan sedang menunggu bapa saudaranya yang tinggal di Presint 9, Putrajaya untuk menyertai acara larian di Setia Alam.

Menurutnya, semasa sedang menunggu bapa saudaranya, mangsa lelaki berusia 30 tahun sempat berbual dengan seorang lelaki warga Indonesia.

"Tidak lama kemudian, lelaki tersebut telah beredar sebelum datang seorang lelaki yang bertindak menutup muka mangsa dengan kain pelikat dan menyerangnya disyaki menggunakan senjata parang.

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan di bahu kanan terus melarikan diri dan meminta tolong daripada pemandu teksi dan pekerja di Putrajaya Sentral," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosly berkata, suspek dipercayai telah mengambil telefon bimbit mangsa jenis Huawei P30 dan pengecas telefon.

Katanya, siasatan mendapati mangsa mengesyaki suspek terbabit adalah lelaki yang sama berbual dengannya berdasarkan pengecaman baju.

"Siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: