Sambut merdeka ala barat sambil ungkap rasa bangga

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KADANGKALA Merak Jalanan tergelak sendirian bila melihat gelagat segelintir anak muda kita terutamanya pemuda-pemudi Melayu berkongsikan sambutan merdeka mereka di media sosial. ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!...Malaysia Merdeka untuk kali ke-62’; ‘Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-62...Proud to be Malaysian’. Itu antara nukilan yang dikongsikan anak muda di media sosial masing-masing pada malam kemerdekaan. Ia satu semangat yang perlu diberi pujian.

Tapi sayang kata-kata laungan itu diiringi dengan foto dan video sambutan merdeka di disko, kelab malam dan pusat karaoke. Diiringi pula lagu-lagu barat yang membingitkan kepala sambil bangga meneguk minuman keras.

Merak Jalanan tertanya-tanya adakah generasi muda kita faham erti kata sebenar kemerdekaan? Apakah definisi merdeka mengikut kefahaman mereka? Cukupkah sekadar tahu bahawa pejuang-pejuang negara ini berjaya menghalau penjajah asing?

Jika begitulah fahaman mereka terhadap erti sebenar kemerdekaan bermakna selamanya diri mereka tidak akan merdeka. Minda terus dijajah, perbuatan masih dibelenggu pemikiran barat dan jiwa masih terikat dengan pengaruh orang putih.

Sambut merdeka pada malam kemerdekaan adalah satu perkara yang terpuji tetapi lokasi sambutan juga perlu dipilih seeloknya. Adalah lebih baik mereka menyambutnya di rumah bersama keluarga, kibarkan Jalur Gemilang dan laungkan kalimah Merdeka! daripada terkinja-kinja di disko, bergaul tanpa batasan lelaki dan perempuan untuk sambut merdeka.

Sepatutnya generasi muda kita perlu belajar untuk memerdekakan diri mereka daripada terus dicengkam penjajahan minda ala barat dan perbuatan macam zaman penjajah kerana itulah erti merdeka sebenarnya.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berpesan, "Jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah kepada generasi muda mereka pada hari ini."

Artikel Berkaitan: