Pelaksanaan Gojek perlu lihat banyak aspek

Gambar hiasan. Gambar kecil: Nik Saiful Adli
Gambar hiasan. Gambar kecil: Nik Saiful Adli
A
A
A

KOTA BHARU – Cadangan membawa masuk perkhidmatan teksi bermotosikal atau Gojek seharusnya disambut baik namun dengan syarat ia perlulah diteliti daripada aspek keselamatan kepada pengguna.

Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, perkhidmatan kenderaan berasaskan aplikasi telefon pintar memberi kemudahan kepada pengguna.

“Bukan sahaja sebagai pengangkutan manusia tetapi kini termasuk penghantaran makanan dan barangan. Saya percaya bahawa perhubungan merupakan faktor utama kemajuan. Negara ini pun dahulunya dimajukan oleh penjajah melalui pembinaan jalan raya, jalan kereta api dan pelabuhan.

“Negara ini telah pun maju dengan perhubungan digital. Rangkaian 4G boleh dihubungkan di dalam kampung-kampung. Namun kita terlupa bahawa perhubungan secara fizikal juga perlu.

“Sejak wujud kemudahan Grab dan Uber, timbul pelbagai perkhidmatan seumpama ini termasuk merangkumi penghantaran barangan dan makanan. Saya percaya ini perkembangan yang baik untuk memberi kemudahan kepada pengguna. Ia melibatkan kos yang murah serta penjimatan masa menunggu jika dibandingkan dengan sistem pengangkutan awam lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Saiful Adli berkata, semakan melalui laman sesawang Gojek mendapati Gojek ini bukanlah sebagaimana yang digambarkan sebagai teksi motosikal semata-mata.

Menurutnya, Gojek juga ada ‘e-hailing’ untuk kereta, teksi, penghantaran makanan, barangan dan lain-lain perkhidmatan.

“Jika benar keseluruhan perkhidmatan ini boleh didapati, maka saya percaya persaingan yang timbul nanti akan memberi manfaat kepada pengguna. Jika melihat secara khusus kepada Gojek motosikal saya fikir perlu ada pertimbangan yang sewajarnya terhadap aspek keselamatan penumpang, terutama apabila terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

“Lazimnya motosikal ini sifatnya suka mencelah, menyelit di celah-celah kenderaan sewaktu kesesakan lalu lintas dan penumpang tidak boleh berbuat apa-apa bagi mengelak risiko seperti ini. Bagaimana pula dengan peraturan pengusaha perkhidmatan ini. Adakah mereka betul-betul tahu keutamaan keselamatan serta ada perlindungan insurans kepada pembonceng nanti?” katanya.

Tambahnya lagi, antara kerisauan lain yang perlu diambil kira ialah sekiranya perkhidmatan e-hailing motosikal ini benar-benar menjadi mudah, anak muda semuanya akan mengejar untuk menjadi penunggang motosikal Gojek sebagai cara senang membina kerjaya.

“Akhirnya mereka mengabaikan kepentingan pendidikan serta menolak peluang meneroka pekerjaan dan perniagaan yang lain. Ini mengingatkan kita bahawa 10 tahun lalu, pernah pekerjaan majoriti anak-anak muda ialah menjual kad tambah nilai telefon bimbit,” katanya.