Dr Mahathir lahirkan pandangan apa ertinya syarikat penerbangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Zaman ketika mana setiap negara memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional telah berlalu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Malaysia masih boleh memiliki syarikat penerbangan nasional tetapi ia tidak semestinya dimiliki oleh kerajaan.

"Sekarang anda boleh mempunyai beberapa syarikat penerbangan. Salah satu daripada mereka boleh dikenali sebagai syarikat penerbangan nasional kerana ia membawa simbol (negara) tetapi ia boleh dikendalikan oleh sektor swasta," katanya dalam satu artikel yang disiarkan dalam "Going Places”, majalah penerbangan Malaysia Airlines.

Beliau menjawab soalan mengenai sama ada masih ada nilai untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional selain daripada semangat patriotisme atau kebanggaan.

Malaysia Airlines yang bermasalah dilaporkan sedang mengkaji beberapa opsyen untuk mengatasi kerugian dalam industri penerbangan yang kompetitif.

Kepada satu soalan, Dr Mahathir menarik perhatian bahawa beliau sentiasa terbang dengan Malaysia Airlines pada masa itu dan menikmati makanan yang dihidangkan dalam penerbangan.

"Makanan yang dihidangkan memang baik, dan sudah tentu, sebagai perdana menteri, saya dapat duduk di Kelas Pertama," katanya.

Mengenai soal pelancongan di Malaysia, perdana menteri berpendapat bahawa terdapat terlalu banyak prosedur birokrasi dalam sektor ini dan ini perlu dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata dalam beberapa kes, beliau berkata, rakyat Malaysia nampaknya tidak begitu mesra.

"Kami mendapati bahawa di sesetengah negara, rakyatnya sentiasa tersenyum, mereka amat mengalu-alukan pelancong, tetapi kadang-kala, rakyat Malaysia tidak bersikap sedemikian," kata Dr Mahathir.

Mengenai perkara lain, beliau menegaskan bahawa industri yang dapat menjana pendapatan yang lebih baik adalah teknologi maklumat (IT) dan sektor teknologi baharu yang rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dan berupaya untuk berkhidmat di sektor-sektor baharu ini.

Dr Mahathir menegaskan bahawa syarikat tempatan kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan mikrochip yang kebanyakannya sebelum ini dihasilkan oleh syarikat asing.

"Kami mahu memasuki AI (artificial intelligence), tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk menjadi kenyataan," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata terdapat banyak cadangan pelaburan tetapi kerajaan perlu menyediakan tenaga kerja yang diperlukan.

Dr Mahathir berkata kerajaan mahu rakyat Malaysia mahir dengan teknologi baharu supaya mereka dapat berkhidmat dalam industri baharu ini.

Beliau juga menyatakan bahawa terdapat pelaburan yang sangat besar di Malaysia, berjumlah hingga kira-kira RM30 bilion (US$ 7.3 bilion) setahun.

"Tetapi entah kenapa, ia tidak dilaporkan (dalam media)," katanya. - Bernama