Mulakan hijrah dengan menjaga kebersihan tandas

Yang di-Pertuan Agong (tengah) berkenan bergambar bersama Shaykh Abdallah (dua, kiri) dan Dr Zaini (kanan) semasa majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong (tengah) berkenan bergambar bersama Shaykh Abdallah (dua, kiri) dan Dr Zaini (kanan) semasa majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan bagi tahun 1441 Hijrah, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang mengajak umat Islam berhijrah dengan menjaga kebersihan tandas khususnya di rumah sendiri yang menjadi tempat untuk bersuci.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menunjukkan tauladan yang baik dengan memastikan tempat-tempat untuk bersuci sentiasa bersih.

Menurutnya, ini kerana Islam amat mementingkan kebersihan bagi mengelak solat yang dilakukan menjadi tidak sah.

“Tidak perlu penghijrahan yang besar. Tapi mulakan dengan menjaga kebersihan di rumah sendiri seterusnya menjaga tandas di tempat kita bekerja dan juga tandas awam.

“Dalam Islam, selepas kita mengucap syahadah, kesucian amat dititikberatkan. Justeru Islam wajar menjadi contoh menjaga kebersihan dan melestarikan alam kerana kita bersolat menggunakan air dan bertayamum menggunakan tanah,” katanya pada sidang media selepas selepas majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan terkenal sebagai tokoh ilmuwan dalam bidang alam sekitar berkata, umat Islam perlu berperanan dalam menjaga alam sekitar agar alam dapat terus bertasbih kepada ALLAH SWT.

Ini kerana katanya, berpandukan beberapa hadis, alam sekitar ini sentiasa bertasbih kepada ALLAH SWT.

“Kalau kita tidak bertasbih jangan kita kacau alam sekitar. Bukan kita boleh saja-saja nak kerat pokok, runtuhkan gunung, atau mencemarkan air.

Artikel Berkaitan:

“Biar alam ini bertasbih kepada ALLAH SWT. Jangan cederakan mereka. Alam akan mengadu kepada ALLAH SWT kalau mereka cedera,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1441 Hijrah kepada Dr Zaini.

Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1441H/2019M pula dianugerahkan kepada Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Syaykh Abdullah Syahkh Al-Mahfoudh.

Mereka menerima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM100,000, sumbangan daripada Yayasan Ubaidi berjumlah RM20,000, medal dan sijil penghargaan.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.