95 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan: MB Johor

Kerja pemadaman yang sedia giat dilakukan oleh pihak bomba di lokasi kejadian hingga ke hari ini.
Kerja pemadaman yang sedia giat dilakukan oleh pihak bomba di lokasi kejadian hingga ke hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha memadam kebakaran hutan di Kampung Pekajang, Iskandar Puteri, di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sehingga hari ini sebanyak 95 peratus daripada keseluruhan 16 hektar kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang bertungkus lumus sejak daripada hari pertama untuk memadam kebakaran di kawasan tersebut," katanya selepas hadir ke Sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini kebakaran hutan berkenaan yang berlaku 21 Ogos lalu.

Selain itu, Sahruddin turut menasihatkan masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka khususnya di lokasi yang bertanah gambut bagi mengelak situasi seumpama itu berlaku.

"Kawasan tanah gambut ini, memang susah hendak dipadamkan. Pasal bara dia biasanya terletak di bawah.

"Jadi masyarakat semua kena faham dan peka, Elakkan membuat pembakaran terbuka," katanya.

Ditanya mengenai prosedur pembenihan awan, beliau berkata, sehingga ke hari ini, tiada keperluan untuk melakukan prosedur tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Marilah sama sama kita berdoa untuk memastikan sebarang rintangan sebarang masalah yang ada di negeri ini, dapat kita selesaikan dengan lebih baik," katanya.