Dong Zong hantar surat rayuan ke KDN

Low Chee Chong
Low Chee Chong
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengemukakan surat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Low Chee Chong berkata, pada 20 Ogos lalu, Dong Zong menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah RoS Johor dengan alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.

"Menerusi surat itu juga, RoS memaklumkan rayuan boleh dibuat kepada Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh surat. Jumaat lalu kita telah serahkan surat kepada Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita berharap dapat berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah pendaftaran persatuan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pada Januari lalu, Dong Zong menerima surat tunjuk sebab daripada RoS Johor kerana perlembagaan mereka bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 kerana terdapat penglibatan guru-guru.

"Dong Zong Johor berbeza dengan Selangor kerana mereka mempunyai sejarah tersendiri kerana ditubuhkan lebih awal iaitu pada 1955 berbanding Akta Pertubuhan pada 1966. Sepanjang beberapa tahun ini tidak ada sebarang masalah yang berlaku.

"Jadi pihak Dong Zong negeri itu telah berjumpa dengan pegawai pendaftaran di Bahagian Pengurusan Pertubuhan. Pihak RoS mencadangkan supaya persatuan itu membuat pendaftaran di bawah Kementerian Pendidikan kerana ada penglibatan guru. Pada Mac surat telah ditulis dan kementerian berkata ia tidak melibatkan pihaknya dan meminta agar ia dirujuk semula kepada RoS. Pegawai di jabatan itu secara lisan berkata ia boleh diselesaikan," katanya.

Katanya, Dong Zong Johor telah berbincang dengan pegawai pendaftar untuk meminda perlembagaan persatuan selaras dengan Akta Pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

"Pihak persatuan boleh menukar perlembagaan untuk membuang penglibatan guru. Perundingan berlangsung dengan baik dan lancar.

"Pada Julai lalu juga, RoS berkata pihaknya mahu merujuk perkara tersebut kepada bahagian undang-undang dan dimaklumkan bahawa secara prinsip ia tidak ada sebarang masalah," katanya.