'Saya kuat demi anak-anak'

Nur Aishah menunjukkan baju Melayu terakhir yang dipakai Allahyarham.
Nur Aishah menunjukkan baju Melayu terakhir yang dipakai Allahyarham.
A
A
A

BATU GAJAH - "Doakan saya kuat teruskan kehidupan demi masa depan anak-anak," demikian luahan Nur Aishah Ahmad Hezazi, 28, mengenangkan nasib empat anaknya selepas kematian suami akibat kemalangan, 21 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, suaminya yang juga pemandu lori, Saifuddin Ismail, 30, meninggal dunia selepas kenderaan berat itu berlanggar dengan sebuah lagi treler di Kilometer 424.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Bukit Tagar menghala ke Bukit Beruntung.

Nur Aishah berkata, kehidupannya bersama anak-anak, Nurul Hazwaninadirah, 11, Nurul Aina Nabila, 10, Muhammad Shahrul Fahmi, 8 dan Muhammad Nafiz, 3, tetap perlu dijalani meskipun sukar menerima kenyataan kehilangan orang tersayang.

"Pemergian arwah secara tiba-tiba memang mengejutkan kami terutama anak bongsu kerana dialah paling rapat dengannya.

"Sampai sekarang, asal nampak lori sahaja, dia akan jerit panggil ayah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Bemban 2 sempena penyerahan cek faedah pengurusan mayat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, semalam.

Anthony menyampaikan bantuan faedah pengurusan mayat kepada Nur Aishah.
Anthony menyampaikan bantuan faedah pengurusan mayat kepada Nur Aishah.

Selain bantuan RM2,000 itu, Nur Aishah turut layak menerima pencen bulanan untuk faedah orang tanggungan yang akan mula dibayar September ini.

Dia yang bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan bersyukur dengan bantuan wang berkenaan dan akan digunakan sepenuhnya untuk kebajikan serta keperluan persekolahan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini kami masih dalam tempoh bertenang, anak sulung sudah boleh terima hakikat bapanya sudah tiada. Dialah yang banyak bantu saya menguruskan rumah dan adik-adik dia," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perkeso negeri, Anthony Arul Dass berkata, menerusi Skuad Prihatin, proses bagi faedah pengurusan mayat dan faedah orang tanggungan kepada waris Allahyarham dapat dilakukan dengan cepat.

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban ditanggung keluarga arwah," katanya.