Baju berona coklat imbau kembali pasukan tentera

Kakitangan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut menyertai acara perarakan dan perbarisan itu.
Kakitangan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut menyertai acara perarakan dan perbarisan itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH termasuk Exco yang mengenakan pakaian berona coklat terang pada sambutan Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-62 melambangkan kesepaduan utuh di antara mereka.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pemilihan warna berkenaan bagi mengimbau kembali pakaian seragam tentera Melayu pada zaman dahulu terutama kepada generasi muda.

Menurutnya, warna berkenaan juga tiada kaitan dengan warna tentera komunis dan isu seperti itu umpama mahu mencuit keharmonian yang dinikmati sehingga sekarang.

"Warna yang kita pilih berdasarkan semangat kemerdekaan dan setiap warna yang kita pilih itu memang ada kena mengena dengan merdeka kita.

"Warna ini adalah salah satu warna tentera dahulu, sebab kalau kita lihat askar Melayu yang awal menggunakan warna ini, jadi warna ini sebenarnya memberikan gambaran bahawa semangat itu harus kita kekalkan," katanya.

Antara aset Tentera Darat yang memeriahkan sambutan Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-62 peirngkat negeri di Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini, hari ini.
Antara aset Tentera Darat yang memeriahkan sambutan Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-62 peirngkat negeri di Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini, hari ini.

Adly berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-62, di Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bersama barisan Exco kerajaan negeri turut hadir menyaksikan perbarisan dan perarakan peringkat negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Adly, walaupun pakaian tersebut hanya membabitkan barisan pemimpin kerajaan negeri, bagaimanapun agensi kerajaan turut mengenakan pakaian patriotik masing-masing.

"Sesiapa sahaja dijemput dan berhak meraikan kemerdekaan, jadi ia tidak jadi sebarang isu dan wakil rakyat pembangkang juga kita jemput," katanya ketika diminta mengulas dakwaan terdapat pihak enggan memakai pakaian seragam tentera itu kerana mirip komunis.

Pada acara sambutan itu perarakan pasukan Kontinjen Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sorakan padu lebih 30,000 rakyat negeri itu sehingga Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini bergema dalam sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat negeri.

Sorakan dan tepukan gemuruh lebih 10 minit itu diberikan rakyat sejurus seramai 650 anggota pasukan keselamatan itu mula berarak masuk diketuai Pegawai Teknikal 3 Rejimen Semboyan Diraja, Mejar Mohd. Ibrahim Masir kira-kira pukul 10 pagi.

Pasukan tersebut merupakan antara 177 kontinjen melibatkan 9,054 peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan di bawah pimpinan Pegawai Memerintah Garison Terendak, Leftenan Kolonel Azwan Md. Akhir.

Lokasi yang menjadi episod laungan kemerdekaan yang pertama dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 itu kemudian kembali bergema apabila sebanyak 16 aset Tentera Darat meneruskan perarakan tersebut.

Aset pelbagai guna, AV8 Gempita digunakan untuk membawa anggota tempur antara aset yang mencuri tumpuan pengunjung dengan rata-rata mereka mengeluarkan telefon bimbit untuk merakamkan detik bersejarah itu.