Polis tahan dua individu bantu siasatan bendera dipasang terbalik

Bendera Kedah dan Jalur Gemilang dipasang terbalik yang dikesan di Langkawi, semalam. (Gambar kecil: Mohd Iqbal Ibrahim)
Bendera Kedah dan Jalur Gemilang dipasang terbalik yang dikesan di Langkawi, semalam. (Gambar kecil: Mohd Iqbal Ibrahim)
A
A
A

LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Dua individu ditahan bagi membantu siasatan kes memasang bendera Kedah dan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di Jalan Pandak Mayah, semalam.

Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat jam 5 petang semalam selepas polis menerima laporan daripada orang awam jam 11.42 pagi.

Menurutnya, pengadu memaklumkan dia ternampak kedua-dua bendera terbabit dipasang secara terbalik di sebuah premis di Pekan Pandak Mayah.

“Siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan sebuah kedai runcit serbaneka di bangunan lot kedai dua tingkat yang beroperasi sejak 15 tahun lalu," katanya.

Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan terhadap pemilik premis mendapati mereka mengakui terlibat dengan kes yang disiasat.

“Dua individu yang ditahan itu adalah seorang lelaki berusia 60 tahun dan wanita berusia 50 tahun. Bagaimanapun suspek turut membuat satu laporan polis dengan menyatakan bendera tersebut telah tersilap pasang.

“Suspek juga kesal atas kejadian tersebut dan telah bertindak memperbetulkan semula kedudukan kedua-dua bendera,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin mengingatkan kepada seluruh penduduk Langkawi agar lebih prihatin dan sensitif berhubung tatacara pemasangan bendera terutamanya Jalur Gemilang.

"Pelbagai kaedah hebahan dibuat melalui radio, televisyen, akhbar mahupun di laman sosial berkaitan pemasangan bendera yang betul,” katanya.

Pihaknya turut memuat naik kaedah pemasangan bendera yang betul sebagai panduan kepada orang ramai di laman Facebook Polis Langkawi.