Pengguna tren nyanyi lagu Negaraku

Mohamed Hazlan (dua dari kanan) memberikan bendera kepada orang awam sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-62 hari ini. Foto: Ihsan Facebook RapidKL
Mohamed Hazlan (dua dari kanan) memberikan bendera kepada orang awam sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-62 hari ini. Foto: Ihsan Facebook RapidKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bersempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-62, semua tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel menghentikan seketika operasi perkhidmatan mereka pada jam 12 tengah hari tadi bagi memberi laluan kepada program istimewa yang diatur oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Difahamkan, perkhidmatan tren yang dihentikan seketika itu adalah bagi mengajak semua penumpang bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ di stesen masing-masing.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, program yang diatur itu bertujuan mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara bersempena hari bersejarah ini.

"Idea bagi menyanyikan lagu kebangsaan di dalam tren, bas dan feri yang berada bawah kelolaan pihak kami ini dicetuskan oleh kakitangan Pusat Kecemerlangan Prasarana, Zaki Mohamed yang percaya langkah itu ideal untuk berkongsi erti kemerdekaan dengan rakyat Malaysia di samping menghargai bumi bertuah ini.

"Kami berharap langkah ini berjaya membakar semangat rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu dan saling menyayangi antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kakitangan Prasarana bersama orang awam turut sama menyanyikan lagu Negaraku sewaktu operasi di stesen tren dihentikan seketika jam 12 tengah hari tadi. Foto: Ihsan Facebook RapidKL
Kakitangan Prasarana bersama orang awam turut sama menyanyikan lagu Negaraku sewaktu operasi di stesen tren dihentikan seketika jam 12 tengah hari tadi. Foto: Ihsan Facebook RapidKL

Selain perkhidmatan tren, difahamkan rakan-rakan sekerja daripada Rapid Bus termasuk di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan kakitangan Rapid Ferry turut menganjurkan program yang sama.

Mengulas lanjut, Mohamed Hazlan berkata, visi Prasarana adalah untuk memberikan fokus bagi menyediakan sambungan dan mobiliti buat semua perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Merdeka bagi kami adalah apabila rakyat Malaysia bebas memilih mod perkhidmatan pengangkutan awam yang lengkap dan bersepadu, supaya kehidupan dan urusan seharian mereka berjalan lancar.

"Sistem pengangkutan awam yang cekap, selamat dan menepati masa adalah bagaikan pembuluh darah bagi pertumbuhan negara dan Prasarana akan terus memacu agenda transformasi pengangkutan negara untuk rakyat Malaysia," katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya rangkaian pengangkutan awam adalah platform ideal untuk menyemarakkan semangat patriotisme kerana ia digunakan segenap lapisan masyarakat.