225 keluarga terima bantuan ribut

Amirudin (kiri) menyampaikan bantuan bencana ribut kepada salah seorang mangsa bertempat di Padang Awam Batu Caves hari ini.
Amirudin (kiri) menyampaikan bantuan bencana ribut kepada salah seorang mangsa bertempat di Padang Awam Batu Caves hari ini.
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan negeri menyalurkan bantuan sebanyak RM512,600 kepada 225 keluarga mangsa ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Taman Templer dalam kejadian 10 Julai lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sumbangan tersebut disalurkan melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurutnya, LZS menyalurkan bantuan sebanyak RM67,500 kepada mangsa dalam kategori asnaf, sementara bakinya oleh MBI dengan peruntukan lebih RM400,000.

"Bantuan sama akan diselaraskan kepada mangsa ribut di Sabak Bernam melalui peruntukan RM1.6 juta melibatkan 500 buah rumah," katanya selepas sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves hari ini.

Amirudin (tengah) bersama isteri, Masdiana Muhamad hadir pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves hari ini.
Amirudin (tengah) bersama isteri, Masdiana Muhamad hadir pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves hari ini.

Pada program itu, sebanyak 289 peserta menyertai acara perbarisan melibatkan wakil jabatan kerajaan dan swasta, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta sekolah-sekolah sekitar DUN Sungai Tua.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pa'Wan Teh dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim.

Amirudin dalam ucapan perasmian turut menyeru rakyat Malaysia menghayati makna kemerdekaan dan mengekalkan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rakyat Malaysia juga perlu lebih melihat semula sejarah supaya tidak ulang kesilapan lama, selain menyifatkan sejarah sebagai satu proses untuk mengenai jati diri bangsa.

"Presiden pertama Indonesia, Soekarno pernah menyebut bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang kenal sejarahnya.

"Justeru di Hari Kebangsaan ini, saya menyeru kita memperkukuh muafakat dan menghadapi rintangan bersama," katanya.