Mayat warga Indonesia ditemukan terapung

APMM mengkoordinasikan pencarian dua individu dipercayai terapung di perairan ABMB sebelum menamatkan SAR tengah hari tadi selepas kapal kargo menemui mayat tersebut
APMM mengkoordinasikan pencarian dua individu dipercayai terapung di perairan ABMB sebelum menamatkan SAR tengah hari tadi selepas kapal kargo menemui mayat tersebut
A
A
A

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) mengkoordinasikan pencarian dua individu dipercayai terapung di perairan Abu Bakar Maritime Base (ABMB) selepas menerima laporan kejadian itu daripada sebuah kapal dagang.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal berkenaan memaklumkan telah melihat dua individu di dalam air dengan memakai jaket keselamatan di laluan utama kapal-kapal dagang pada jam kira-kira 8.40 pagi, semalam.

"Bagaimanapun kapal tersebut gagal menyelamatkan mangsa berikutan keadaan trafik yang sibuk dan tidak mengizinkan serta dikhuatiri membahayakan.

"Kejadian dilaporkan berlaku di posisi lebih kurang 2.5 batu nautika barat daya Batuan Tengah, Johor. Anggota Maritim Malaysia yang bertugas di ABMB, Batuan Tengah juga melakukan pemantauan berterusan selain daripada kapal dan bot yang diatur gerakkan bagi melaksanakan pencarian. Pencarian turut dibantu oleh kapal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan jam 12.51 tengah hari tadi susulan maklumat diterima dari pihak Badan SAR Indonesia (Basarnas) Tanjung Pinang bahawa sebuah kapal kargo telah menemui dua mayat bersama jaket keselamatan pada jam 11 pagi.

Katanya, mayat tersebut ditemui pada posisi lebih kurang 4 Batu Nautika Barat Daya ABMB dan mayat dibawa kapal berkenaan ke pelabuhan Batam untuk diserah kepada Polair Polda Kepri serta dibawa ke rumah sakit Otorita Batam.

Hasil maklumat, kedua-dua individu berkenaan beralamat di Benkong, Batam di mana mayat yang ditemui adalah Rivaldi S Milandi, 22 bekerja sebagai nakhoda speedboat service.

Manakala satu lagi mayat dikenali sebagai Boby, 21, yang bekerja sebagai AB speedboat service.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan lokasi penemuan dan keadaan mangsa yang ditemui, maklumat adalah konsisten seperti laporan oleh kapal Black Forest.

"Justeru itu, MRSC Johor Bahru menamatkan SAR (mencari dan menyelamat) dan akan diaktifkan semula jika pengesahan maklumat mayat yang ditemui adalah sebaliknya," katanya.