Perpaduan, semangat patriotisme rakyat tidak pernah luntur

Anggota kontinjen Pembawa Bendera Jalur Gemilang berarak pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - FOTO ZAHID IZZANI
Anggota kontinjen Pembawa Bendera Jalur Gemilang berarak pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2019 di setiap pelosok negeri membuktikan perpaduan serta semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini tidak pernah luntur dan masih kekal utuh.

Semangat kebersamaan ditampilkan menerusi penyertaan pelbagai kaum dalam acara diadakan hari ini jelas mencerminkan keharmonian dan kemakmuran negara yang dikecapi selama 62 sebelum ini tetap terpelihara.

Bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih', aspirasi Hari Kebangsaan kali ini didukung oleh empat komponen - kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Selain acara sambutan peringkat kebangsaan yang diadakan di Dataran Putrajaya, negeri-negeri juga mengadakan program dengan dihadiri kepimpinan negeri dan acara yang diadakan turut menarik perhatian pelancong asing untuk bersama-sama meraikannya.

Di JOHOR, ribuan rakyat tempatan mula berkumpul di Dataran Bandaraya Johor Bahru sejak 6 pagi bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan daripada 130 kontinjen dengan melibatkan lebih 2,000 peserta.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam ucapannya meminta rakyat agar mengamalkan empat formula dalam kehidupan demi memperkukuh perpaduan kaum dengan menekankan kerukunan hidup bangsa Malaysia; mengamalkan perkongsian hidup dan berkongsi masa depan; mendaulatkan integrasi antara kaum; bersyukur serta menghargai nikmat kemerdekaan sedia ada.

Beliau berkata, keempat-empat formula itu adalah garapan asas untuk membentuk Malaysia yang muafakat dan sejahtera, selain untuk membolehkan negara terus maju ke hadapan.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Putrajaya hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Putrajaya hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Di KOTA KINABALU, lebih 10,000 orang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Sabah yang berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens, seawal 6 pagi.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib serta barisan kabinet negeri itu.

Sebanyak 172 kontinjen melibatkan pelbagai kategori seperti sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan serta sektor swasta, badan bukan kerajaan dan persatuan etnik Sabah menyertai perbarisan yang bermula kira-kira 7.30 pagi.

Di PERAK, lebih 10,000 menghadiri sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Dataran Warisan, Taiping, dengan disajikan, antaranya perarakan oleh 111 kontinjen daripada jabatan kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, badan berkanun dan swasta.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut mencuri tumpuan persembahan Lakon Puisi Srikandi Gelang Emas Merdeka yang mengisahkan mengenai Allahyarham Siti Rahmah Kasim mendermakan gelang emasnya bagi membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk rundingan kemerdekaan.

Persembahan itu dijayakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak dengan kerjasama Kolej Vokasional Lebuh Cator, Ipoh dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Di KELANTAN, 2,500 peserta melibatkan 62 kontinjen pelbagai agensi menyertai acara perbarisan yang diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah dengan saksikan lebih 5,000 rakyat berbilang kaum selain Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Ahmad dalam ucapannya mahu rakyat negeri itu sama-sama menghayati erti kemerdekaan sebenar dengan menerapkan budaya saling mengambil berat sesama masyarakat.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 15,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini, seawal 7 pagi.

Sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Perarakan disertai 5,000 peserta mewakili 104 kontinjen serta perarakan aset pasukan keselamatan unit beruniform. - Bernama