Penyertaan SPRM cermin tekad Malaysia bersih

Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Penampilan kontinjen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk karakter animasi Kapten MACC dan replika ibu pejabat SPRM di atas kereta berhias begitu signifikan pada perarakan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya hari ini sebagai cerminan kepada tekad tema sambutan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Kapten MACC atau Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) berperanan menyampaikan mesej pendidikan antirasuah terutamanya kepada golongan cilik dalam program pendidikan seperti program wira antirasuah dan di platform media.

Kereta berhias SPRM secara simboliknya mewakili inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan dalam menghapuskan jenayah rasuah di Malaysia.

Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat berkata, elemen pendidikan yang disampaikan melalui maskot Kapten MACC adalah usaha mendidik masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berintegriti dengan rakyatnya bersikap amanah dan bertanggungjawab.

“Selama lebih 52 tahun, SPRM mengorak usaha pencegahan rasuah melalui pendidikan dan tindakan punitif. Pelbagai jerih perih serta suka duka dilalui dalam memastikan Malaysia bebas daripada sebarang bentuk jenayah rasuah.

“Komitmen yang telah dipamerkan oleh setiap warga SPRM dalam memperjuangkan usaha murni ini sedikit pun tidak pernah luntur daripada jiwa warganya,” katanya kepada Bernama.

Turut menyerikan kontinjen SPRM itu ialah MACC FM movers iaitu perkhidmatan radio dalam talian yang dikendalikan oleh SPRM berperanan menyebarkan informasi pencegahan rasuah secara santai dengan pendidikan antirasuah.

Siaran MACC FM dalam talian boleh diikuti melalui www.macc.fm atau dimuat turun aplikasi macc.fm.

Slogan anti rasuah juga dipaparkan pada belon helium perarakan.- Bernama