Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih terap patriotisme, anti rasuah

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima tabik hormat sebaik menghadiri acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima tabik hormat sebaik menghadiri acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Patriotisme, perjuangan, jati diri anak bangsa dan benci rasuah digarapkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019 sebagai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, cekap dan amanah.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, acara kemuncak sambutan iaitu perarakan dan perbarisan yang berlangsung di Putrajaya, menampilkan empat komponen bagi mendokong aspirasi itu iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Juga istimewa pada sambutan kali ini apabila Yang di-Pertuan Agong baharu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke acara tersebut, yang pertama bagi Seri Paduka mencemar duli ke sambutan hari kebangsaan sejak ditabalkan pada 30 Julai.

Disaksikan jutaan rakyat melalui kehadiran orang ramai di Dataran Putrajaya serta tontonan siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, kehadiran pengunjung juga diraikan oleh 2,120 pelajar sekolah yang melakukan pergerakan formasi grafik seawal 6.30 pagi.

Sejurus keberangkatan tiba Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Putrajaya, acara dimulakan dengan nyanyian lagu keramat Negaraku diringi acara menaikkan Jalur Gemilang.- Bernama

Turut hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta perwakilan asing.

Dr Mahathir memandu sendiri kereta Proton Saga model baharu berwarna merah ke acara tersebut.

Mendahului acara sambutan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-62 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, disusuli nyanyian lagu Malaysia Bersih dan diikuti bacaan ikrar Rukun Negara.

Juga kedengaran ialah tembakan kehormatan 14 das, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja ketika lagu Negaraku berkemundang.

Artikel Berkaitan:

Bacaan ikrar Rukun Negara tahun ini dipimpin Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zuhairie Abu Bakar dan diiringi 62 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru dan pelajar; penjawat awam serta pekerja sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan.

Usai lafaz ikrar, laungan keramat 'Merdeka' sebanyak tujuh kali bergema di Putrajaya.

Hadirin dipersembahkan dengan persembahan khas Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang menonjolkan segmen berteraskan Wawasan 2020, anai-anai atau kejelikan rasuah, kebangkitan Harimau dan Malaysia Bersih.

Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 80 kaki x 40 kaki oleh 60 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan 20 kadet inspektor dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.

Ia disusuli dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan 670 pembawa bendera negeri serta bendera berwarna.

Perarakan turut dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang diketuai Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman yang melibatkan 133 peserta dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi Honda Goldwing, 20 kenderaan agensi kerajaan serta 15 buah motosikal pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyemarakkan kibaran bendera Malaysia.

Perarakan kali ini turut diserikan dengan penyertaan tiga belon gergasi karakter animasi iaitu Ejen Ali, Didi dan Yaya serta pelbagai maskot animasi Malaysia.

Senada dengan tema Sayangi Malaysia: Malaysia Bersih, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menampilkan kontinjen kereta berhias, pasukan bermotorsikal berkuasa tinggi berpakaian watak siri animasi Kapten MACC atau ‘Malaysian Anti Corruption Commission’.

Kemunculan orang nombor satu perkhidmatan awam, iaitu Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam yang dipimpinnya, menarik perhatian Seri Paduka baginda berdua yang berdiri sambil bertepuk tangan dan Tunku Azizah dilihat memberi isyarat "thumb ups".

Perarakan turut diserikan dengan penyertaan kontinjen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta termasuk daripada industri penerbangan yang diwakili Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air yang mengenakan busana syarikat penerbangan masing-masing.

Dalam segmen ketenteraman awam yang melibatkan 10 agensi penguatkuasa undang-undang antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara.

Kereta bomba model Dennis RR-80 buatan England yang digunakan dalam perkhidmatan bomba Malaysia pada 50-an, antara aset tarikan dalam perarakan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jentera itu kini digunakan sebagai bahan pameran sejarah untuk rujukan ilmiah.

Sultan Abdullah dilihat memberi tabik ketika kontinjen Polis Diraja Malaysia melakukan lintas hormat dan memberi tepukan kepada Unit Tindakan Khas (UTK), yang antara tugasannya adalah berkaitan kawalan keselamatan ke atas orang kenamaan.

Dalam segmen keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia merupakan kontinjen terbesar dalam perarakan tahun ini, melibatkan 3,771 pegawai dan anggota serta 115 aset utama darat, laut dan udara.

Turut dipertontonkan ialah aset-aset milik ATM antaranya kereta kebal 91M Pendekar 125MM, yang dilengkapi dengan sistem persenjataan utama iaitu ‘125MM Gun’ dan mempunyai pertahanan reaktif armor.

Aset helikopter kontinjen keselamatan negara turut dipertontonkan di ruang udara, antaranya melibatkan lima pesawat EC725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ruang udara Putrajaya turut digegarkan dengan penampilan pesawat pejuang enam pesawat Hawk, empat pesawat Hornet F/A-18D, dan sembilan pesawat Sukhoi SU-30MKM.

Acara disudahi dengan persembahan penutup Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang menampilkan kepelbagaian bangsa Malaysia serta kemunculan Kumpulan Bunkface yang mendendangkan lagu "Kita Punya Malaysia".

Sebanyak 15,940 peserta dan sejumlah 345 aset serta 46 ekor kuda terlibat, dalam acara perbarisan dan perarakan hari ini. - Bernama