Gangguan kesihatan murid tiada kaitan unsur jenayah

Kamarudin Md Din
Kamarudin Md Din
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menolak kemungkinan kejadian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Pasir Gudang yang dikesan mengalami muntah dan loya ketika sesi persekolahan baru-baru ini ada kaitan dengan perbuatan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, perkara itu merujuk kepada siasatan dijalankan Polis Daerah Seri Alam di kawasan berhampiran sekolah berkenaan susulan kejadian yang berlaku.

"Tiada apa (unsur jenayah), saya juga dah bercakap dengan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah mengenai perkara ini.

"Beliau juga memaklumkan tiada sebarang kejadian pembuangan sisa toksik yang dibuat berhampiran sekolah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan seramai 33 pelajar daripada sekolah berkenaan dikesan menunjukkan gangguan kesihatan muntah dan loya dipercayai selepas terhidu bau busuk yang kuat sejak jam 8.30 pagi.

Kesemua 28 murid perempuan serta lima murid lelaki yang mengalami simptom itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk rawatan pada jam 9 pagi.

Dalam perkembangan sama, Kamarudin memaklumkan setakat ini Polis Johor juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian kebakaran membabitkan keluasan 16 hektar di Kampung Pekajang, Gelang Patah.

"Setakat ini daripada polis kita tidak terima lagi sebarang laporan dan keterangan menunjukkan kebakaran ini mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat atau sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita serahkan semuanya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, tetapi sekiranya mereka ada temui apa-apa yang mencurigakan mereka boleh jumpa kita untuk lakukan siasatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kes murid Pasir Gudang loya, pening