'Tiada jawatan kosong untuk Anwar'

Dr Mahathir ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada jawatan kosong dalam Kabinet untuk diisi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

Beliau berkata, ini kerana tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar.

"Kerajaan tidak akan buat perubahan atau penambahan jumlah ahli Kabinet.

"Tiada sesiapa yang nak letak jawatan, kami tidak ada kekosongan. Kalau ada kekosongan kami akan fikirkan calon- calon yang sesuai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan mempelawa Anwar untuk menyertai barisan Kabinet memandangkan gandingan mereka berdua dikatakan serasi dan baik untuk negara.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bersidang hari ini tidak membincangkan mengenai sebarang rombakan Kabinet dalam kerajaan.

"Kami (Bersatu) tidak bincang perkara ini dalam parti kami," katanya.

Baru-baru ini timbul ura-ura kerajaan akan membuat rombakan Kabinet apabila Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa tidak ada rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini seperti yang spekulasi yang dibuat oleh beberapa pihak, khususnya, media tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada rombakan Kabinet, tiada menteri baharu: PM