Imigresen dedah IPTS, sekolah bahasa sering beri masalah

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (tengah) ketika bercakap pada Wacana Sinar Harian berjudul Pelajar Asing: Kenapa Banyak Masalah di Dewan Karangkraf Seksyen 15 di sini hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (tengah) ketika bercakap pada Wacana Sinar Harian berjudul Pelajar Asing: Kenapa Banyak Masalah di Dewan Karangkraf Seksyen 15 di sini hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen mendedahkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan sekolah bahasa sering memberikan masalah kepada agensi tersebut berhubung pelajar asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sering menemui kes pelajar asing datang ke Malaysia untuk belajar bahasa Inggeris, sedangkan mereka datang dari negara-negara yang mempunyai kemahiran tinggi dalam penguasaan bahasa tersebut.

"Dari segi penguatkuasaan, kita tiada masalah dengan sekolah antarabangsa dan IPTA serta tidak banyak masalah dengan institusi kemahiran.

"Hanya dua institusi ini banyak beri masalah kepada pihak Imigresen," katanya pada Siri Wacana Sinar Harian Ke-123, Pelajar Asing: Kenapa Banyak Masalah?

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan dan kedaulatan negara melibatkan pelajar asing.

"Pelajar asing yang mahu melanjutkan pelajaran di Malaysia perlu melalui tapisan imigresen dan jika mana-mana warga asing pernah melakukan kesalahan menyalahi undang-undang negara akan disenarai hitam.

"Antara kesalahan tersebut adalah mereka masuk ke negara ini dengan dokumen palsu seperti menipu tarikh lahir dan nama. Itu adalah satu kesalahan dan kita mempunyai satu sistem.

"Tapisan keselamatan kedua adalah imigresen mempunyai sistem yang dihubungkan dengan Interpol. Pelajar yang masuk dengan dokumen curi atau palsu, kita akan senaraikan mereka untuk tidak dibenarkan masuk ke Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara punca kepada masalah yang ditimbulkan oleh pelajar asing di negara ini berkait rapat dengan perbezaan budaya.

"Budaya di Malaysia dengan Timur Tengah berbeza. Saya pernah diberitahu pelajar dari Yaman membawa pisau yang diletakkan di dada dan berjalan di kawasan umum. Di negara tersebut ada hari tertentu yang membenarkan senjata dibawa.

"Ia merupakan kesalahan di negara kita. Pelajar itu ditahan dan kedutaan mereka terpaksa terlibat untuk menyelesaikan masalah ini.

"Untuk mengatasi masalah budaya di kolej dan universiti yang mengambil pelajar asing untuk memberikan program orientasi mencukupi tentang apa yang boleh dan tidak di Malaysia," katanya.