Pemandu e-hailing tak patuh peraturan berdepan tindakan tegas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu e-hailing di ibu kota yang masih gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas selepas 12 Oktober ini, kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd Zawawi.

Beliau berkata, tindakan saman akan dikenakan terhadap pemandu yang gagal mematuhi peraturan seperti tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

"Selepas tempoh lanjutan tiga bulan tamat, operasi dan rondaan di sekitar ibu negara akan dibuat dan tindakan saman akan dikenakan kepada pemandu e-hailing yang gagal mematuhi peraturan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di sini, hari ini.

Ismail berkata melalui penguatkuasaan perkhidmatan e-hailing di ibu negara setakat ini, seramai 25 pemandu dikesan tidak memiliki Permit Kenderaan E-hailing (eVP), 55 tiada lesen PSV dan 73 pemandu tiada pelekat e-hailing.

"Dalam tempoh ini kami melaksanakan penguatkuasaan dengan pendekatan 'soft landing' dengan memberi nasihat dan amaran terhadap pemandu e-hailing yang tidak mematuhi peraturan," katanya.

Pada 13 Julai lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan kepada semua pemandu e-hailing yang belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mendapatkan lesen PSV.

Ditanya mengenai pelaksanaan Gojek, Ismail berkata pihaknya menunggu hasil kajian yang dibuat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berhubung perkhidmatan teksi motosikal itu.

"Beberapa aspek perlu dipertimbangkan terutama dari segi lesen memandu serta cukai jalan kerana didapati ramai penunggang motosikal di negara ini tidak mempunyai lesen.

Artikel Berkaitan:

"Namun begitu, JPJ akan mengikut apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan berhubung pelaksanaan Gojek di negara ini," katanya. - Bernama