Mayat dalam beg: Ada 13 kesan tikaman di dada

Baharudin menunjukkan wajah Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe (kanan) dan mangsa Tan Siew Mee pada sidang media di IPD Shah Alam hari ini.
Baharudin menunjukkan wajah Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe (kanan) dan mangsa Tan Siew Mee pada sidang media di IPD Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan terdapat kesan kelar di leher dan 13 tikaman pada dada dan perut mayat wanita yang ditemui disumbat dalam beg pakaian sebelum dicampak dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bedah siasat ke atas mayat dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan punca kematian adalah kecederaan parah akibat tikaman berganda.

Menurutnya, semakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdasarkan kesan cap jari, si mati dikenal pasti sebagai Tan Siew Mee atau nama panggilannya, Emilly berusia 52 tahun bekerja sebagai kakitangan sebuah restoran di Subang Jaya.

"Pada 24 Ogos lalu, rakan mangsa membuat laporan polis selepas dia gagal dihubungi dalam beberapa hari sebelumnya.

"Berdasarkan rakaman percakapan rakannya kepada polis, sebelum hilang mangsa ada bercerita tentang sesuatu perkara termasuklah khuatir kerana suaminya gagal dihubungi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Baharudin berkata, polis kini sedang mengesan suami mangsa, Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe, 79, dan tidak bekerja.

"Lelaki itu bersama mangsa menyewa rumah di kondominium sekitar Subang Jaya dan alamat lainnya adalah di nombor 173, Jalan Kalawai Georgetown Pulau Pinang.

Baharudin menambah, sehingga kini tiada waris mangsa yang tampil membuat pengecaman ataupun menuntut mayatnya.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan rekod JPN, si mati berasal dari Pokok Sena Kedah," katanya.

Dalam pada itu, Baharudin menolak kemungkinan motif kejadian adalah samun memandangkan barang kemas yang dipakai si mati tidak hilang.

"Kita kekalkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Isnin lalu, sekitar jam 5.30 pagi seorang pekerja juruteknik syarikat telekomunikasi semasa menjalankan kerja pemeriksaan kabel menemui mayat wanita tanpa dokumen pengenalan diri dalam beg pakaian dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohammad Daniel Lee Abdullah di talian 019-6820 550 atau IPD Shah Alam (03-5520222) atau berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita dalam beg pakaian