Antara wang ringgit dan emosi perokok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

WALAUPUN peraturan larangan merokok di semua tempat makan bertutup dan berkonsep terbuka termasuk di tepi jalan sudah dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu, masih ada yang degil tidak endahkan arahan tersebut.

Ada dalam kalangan perokok tanpa segan silu dengan selamba menghembuskan asap rokok berkepul-kepul di kawasan yang turut dikongsi golongan yang tidak merokok.

Bukan sahaja tidak menghormati orang yang tidak merokok, malah mereka seolah-olah tidak kisah dikenakan hukuman. Jika sabit kesalahan, mereka boleh meringkuk di dalam penjara selama dua tahun dan denda maksimum RM10,000.

Melihat kepada sikap segelintir perokok itu yang seolah-olah ‘kebal’ mendorong kerajaan melakukan sesuatu. Hukuman penjara dan wang ringgit sahaja kurang berkesan untuk menyedarkan mereka.

Justeru, hukuman berbentuk khidmat masyarakat yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin sudah pasti disambut baik terutama golongan tidak merokok yang sering jadi ‘mangsa’ asap rokok orang lain.

Hukuman seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput lebih efektif kerana ia berbentuk pendidikan berbanding denda wang ringgit. Bagi orang berada, hukuman denda RM10,000 misalnya, sebenarnya 'ciput' bagi mereka, ibarat ‘celah gigi’ sahaja.

Mungkin ada yang berkata, apalah sangat hukuman sebegitu lebih-lebih lagi pesalah tidak perlu mengeluarkan duit untuk membayar denda. Namun, ia sebenarnya memberi kesan mendalam terhadap emosi pesalah dan maruah diri.

Kita cadangkan mungkin boleh dipanggil media untuk buat liputan pesalah terbabit sedang mencuci tandas atau memungut sampah. Sudah tentu mereka akan malu bukan kepalang kerana terpampang wajahnya dalam surat khabar dan televisyen yang ditonton satu Malaysia. Dengan cara itu, lebih ramai yang gentar untuk melakukan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Walau apa pun bentuk hukuman, yang penting penguatkuasaan. Tak guna gubal hukuman tetapi penguatkuasaan masih lemah. Kementerian perlu main peranan dan berani ambil tindakan. Pelaksanaan hukuman juga kena tegas. Siapa nak mengawasi pesalah ini ketika melakukan kerja khidmat masyarakat nanti. Bukan apa, takut nanti disuruh curi tandas, rupanya duduk bertapa di dalam tandas dengan asap rokok berkepul-kepul.