Jom meriahkan program Merdeka di kampung!

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka memenuhi Program Merdeka@Komuniti peringkat Daerah Kuala Muda dengan 36 acara disediakan bermula 30 Ogos sehingga 1 September ini.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, lokasi program di Sekolah Kebangsaan Haji Omar Tahir (SKHOT) Merbok itu pada tahun ini agak berlainan.

Menurutnya, pihaknya mahu mengajak orang ramai memenuhi dan memeriahkan kawasan luar bandar yang dikelilingi sawah padi dan suasana kampung.

Nor Azrina berkata, antara acara yang menarik perhatian termasuk Pesta Bendang dan Sukan Rakyat menampilkan pertandingan bantal gebuk, tangkap itik, dan tangkap ikan haruan.

"Kita juga menyediakan acara Kayuhan Merdeka dari Titi Semeling ke SKHOT yang akan melalui beberapa lokasi yang berpotensi untuk pelancongan, kursus kahwin, Fun Run, Program Haji Cilik, Forum Perdana dan pertandingan beyblade serta e-sukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Merdeka@Komuniti di Pejabat Daerah Kuala Muda hari ini.

Katanya, bagi yang sukakan aktiviti lasak, penganjuran Selempang Merdeka Explorace amat sesuai kerana memerlukan kekuatan mental dan fizikal bagi menempuh halangan.

Tidak meminggirkan golongan ibu, pertandingan aspek wanita, demonstrasi solekan, taklimat dan pendaftaran i-Suri turut disediakan.

Artikel Berkaitan:

Antara acara yang mengimbau nostalgia ialah Wayang Pacak filem Paskal, BBQ Rakyat dan perbarisan rakyat sempena sambutan kemerdekaan turut diselitkan.

Katanya, penyertaan beberapa pertandingan dikenakan yuran minimum dengan tawaran pelbagai hadiah menarik termasuk cabutan bertuah disediakan.

Sementara itu, Pegawai Daerah, Datuk Md Nordin Yahya berkata, di Kuala Muda, majlis bacaan Yasin diadakan di Dataran Tsunami selain jamuan rakyat dan laungan azan pada tepat jam 12 tengah malam telah diatur bagi memenuhi sambutan kemerdekaan tahun ini.