Dr Mahathir kagum pembangunan, kemajuan Vietnam

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
A
A
A

HANOI – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kagum dengan pembangunan dan kemajuan yang dikecapi Vietnam hari ini.

Beliau berkata penduduk Vietnam yang rajin dan cepat belajar termasuk dalam bidang berteknologi tinggi seperti ‘Artificial Intelligent’ (AI) menunjukkan azam mereka mahu berjaya.

Sambil mengimbau lawatannya ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4, beliau berkata Vietnam pada ketika itu jauh ketinggalan dan (rakyatnya) hanya menggunakan basikal sahaja.

“Hari ini, kita dapat lihat bagaimana Hanoi berkembang maju dan dengan banyak industri dan perniagaan. Selain itu, dalam jangka masa pendek, mereka turut melahirkan jutawan yang melabur dan membuat kereta dan juga membangunkan teknologi maklumat.

"Mereka berjaya kerana rajin bekerja, belajar dan berusaha. Di Vietnam, terdapat universiti yang mengajar AI kepada 50,000 pelajar. Orang kita, bagi biasiswa pun tak nak (belajar). Kalau tidak belajar, kita akan jadi orang miskin.

“Selain itu, mereka faham kegunaan duit sebagai modal untuk mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya kepada pemberita Malaysia pada akhir lawatan tiga hari ke Vietnam.

Dr Mahathir melakukan lawatan rasmi terakhir ke Vietnam pada 1996 dan lawatan kerja ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean pada 1998.

Dr Mahathir berkata sebelum ini, Vietnam mewujudkan zon perindustrian kerana melihat inisiatif Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dalam perindustrian.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa itu, Vietnam belum ada industrial park dan mereka berminat kerana melihat usaha Malaysia. Maka, kita tunjuk model dan berkongsi maklumat pada mereka.

“Mereka (Vietnam) kemudian jemput pihak swasta mendirikan Industrial Park, ia cukup berjaya,” katanya.

Sebelum itu, beliau melawat Zon Perindustrian Noi Bai di sini dimana beliau yang menyempurnakan majlis pecah tanah di tapak yang sama pada 1996 ketika lawatan rasmi ke republik sosialis ini.

Zon Perindustrian Noi Bai ditadbir urus oleh Noi Bai Development Corporation Limited (NBD), iaitu syarikat usahasama Malaysia-Vietnam (Vista Spectrum Sdn Bhd dan Urban Infrastructure Development Investment Corporation UDIC Vietnam).

Ia zon perindustrian asing yang pertama di Hanoi dengan keluasan 100 hektar (peringkat 1) dan 14 hektar (peringkat 2), dan kini mempunyai 46 pelabur yang menyediakan 22,000 peluang pekerjaan, termasuk empat syarikat usahasama Malaysia dengan beberapa syarikat luar. - Bernama