ADUN perlu akur keputusan isytihar harta kepada Speaker

Koo Ham (kiri) bersama Shamsun Baharin (kanan) ketika sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
Koo Ham (kiri) bersama Shamsun Baharin (kanan) ketika sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu akur dengan ketetapan yang dibuat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu berkaitan penyerahan borang pengisytiharan harta kepada Speaker DUN sebelum diserahkan kepada SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, pihaknya hanya menjalankan tugas sebagai agensi pelaksana kerana keputusan mewajibkan pengisytiharan harta itu ditentukan oleh kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang undang-undang khusus yang diperuntukkan bagi mewajibkan seseorang wakil rakyat itu mengisytiharkan harta.

"Cara mana ADUN nak hantar itu terpulang kepada mereka. Kalau mereka nak bagi terus kepada kita, kita tak ada isu.

"Tetapi apa yang telah diputuskan sebelum ini maksudnya mereka harus berikan kepada Speaker dan salinan diberikan kepada SPRM. Sepatutnya begitulah.

"Pada saya isu itu harus diselesaikan antara mereka. Apa yang penting satu salinan mesti diberikan kepada SPRM," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Bengkel Reformasi DUN Perak di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad bahawa ADUN-ADUN Pembangkang di negeri ini hanya akan menyerahkan borang pengisytiharan harta kepada SPRM dan bukan kepada Speaker DUN.

Hadir sama pada sidang media itu Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Artikel Berkaitan:

Shamshun Baharin berkata, sebarang pelaksanaan berkaitan pengisytiharan harta itu perlu datang daripada punca kuasa sama ada Parlimen di peringkat Persekutuan dan DUN di peringkat negeri.

Katanya, SPRM pada dasarnya menyambut baik usaha yang dibuat kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri dalam melaksanakan pengisytiharan harta bagi memperlihatkan ketelusan dan kredibiliti melaksanakan tugas.

"Setakat ini kita tidak ada undang-undang berkaitan pengisytiharan harta ini. Sebab itulah selain di peringkat Persekutuan menggunakan Kabinet dan Parlimen sebagai punca kuasa begitu juga di peringkat negeri melalui DUN.

"Sepatutnya semua negeri menyambut saranan ini seperti di peringkat persekutuan. SPRM sebagai pelaksana, kita menyediakan platform terutama portal pengisytiharan harta itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Koo Ham berkata, sebarang usul yang telah diluluskan di dalam sidang DUN harus dipatuhi semua ADUN.

Beliau berkata, keengganan mana-mana ADUN mematuhi arahan tersebut boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk diambil tindakan.

Selain itu, ADUN juga boleh disiasat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 sekiranya memberikan akuan palsu berhubung pengisytiharan harta tersebut.

Katanya, semua ADUN sebenarnya sedia maklum mengenai hukuman yang bakal diterima jika gagal mematuhi peraturan ditetapkan malah dianggap menghina DUN.