9 jalan di Putrajaya ditutup beri laluan Sambutan Hari Kebangsaan 2019

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak sembilan jalan akan ditutup secara berperingkat di Putrajaya mulai jam 6 pagi hingga selesai Sambutan Hari Kebangsaan 2019 pada 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, jalan yang ditutup adalah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Saujana, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Lebuh Setia.

Menurutnya, sebanyak 5,000 petak parkir kenderaan disediakan dan bagi memudahkan orang ramai ke lokasi sambutan, penganjur telah menyediakan shuttle bus (bas perantara).

"Shuttle bus untuk zon A akan mengambil penumpang di Putrajaya Sentral, My Farm dan Ayer 8 kemudian akan diturunkan di Kiblat Walk.

"Manakala zon B dan C akan mengambil penumpang dari parkir awam Presint 14, Kementerian Pengajian Tinggi, Taman Seri Empangan, Park&Ride Presint 14 dan parkir Kompleks E kemudian akan diturunkan di belakang Istana Kehakiman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan Bek berkata, seramai 300,000 orang dijangka menghadiri sambutan Hari Kebangsaan dan acara dijadualkan bermula jam 7.30 pagi dan tamat jam 12.30 tengah hari.

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif dan elak menggunakan jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan. Menggunakan pengangkutan awam adalah sangat digalakkan dan bagi mereka yang membawa kenderaan dilarang meletakkannya di bahu jalan bagi mengelakkan tindakan tunda kenderaan dan dikenakan saman.

"Orang ramai juga diingatkan agar tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan dan pastikan kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan dikunci," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2222 atau talian hotline Trafik Kuala Lumpur, 03-2071 9777.