Ribut: RM400,000 baik pulih SMK Landas

Kejadian ribut melanda SMK Landas, Hulu Terengganu petang semalam menyebabkan kerosakan teruk di bahagian bumbung bangunan.
Kejadian ribut melanda SMK Landas, Hulu Terengganu petang semalam menyebabkan kerosakan teruk di bahagian bumbung bangunan.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerja-kerja baik pulih dan membaiki kerosakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, di sini akibat dilanda ribut petang semalam dijangka siap sepenuhnya sebelum sesi persekolahan baharu tahun depan.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, buat sementara waktu, kesemua pelajar meneruskan persekolahan seperti biasa di bangunan kosong tingkatan enam sehingga berakhirnya persekolahan tahun ini.

Menurutnya, ia melibatkan 315 pelajar daripada 17 kelas dipindahkan ke bangunan tersebut.

"Kejadian ribut kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan kemusnahan teruk pada struktur bumbung dua bangunan di sekolah ini serta kerosakan pendawaian elektrik.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kita telah dapat kebenaran untuk jalankan kerja-kerja baik pulih secepat mungkin menggunakan peruntukan sedia ada daripada Kementerian Pendidikan sebanyak RM400,000.

"Sekiranya kos baik pulih melebihi daripada jumlah itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan membuat permohonan darurat daripada kementerian mengikut laporan penuh forensik Jabatan Kerja Raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafruddin melihat bumbung bangunan tiga tingkat SMK Landas yang rosak teruk akibat ribut.
Shafruddin melihat bumbung bangunan tiga tingkat SMK Landas yang rosak teruk akibat ribut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang meninjau kesan kerosakan di SMK Landas, di sini semalam dengan diiringi Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafruddin berkata seisi persekolahan tidak terjejas dan calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga tiada sebarang halangan.

"Kita masih ada dewan dan kelas lain boleh digunakan untuk pelajar menduduki peperiksaan awam itu nanti.

"Selain itu, SMK Landas ini juga turut memiliki kemudahan asrama yang dihuni 140 pelajar," ujarnya.

Dalam kejadian ribut sekitar jam 3 hingga 3.15 petang semalam itu, bumbung bangunan tiga tingkat yang menempatkan kelas pelajar serta bengkel kemahiran hidup musnah akibat dilanda ribut dalam kejadian hujan lebat.

Ketika kejadian, kesemua pelajar telah pulang ke rumah setelah mendapat kebenaran pihak sekolah agar pulang lebih awal memandangkan sekolah terlibat dengan minggu peperiksaan.