Pesalah rokok: Khidmat masyarakat boleh timbulkan kesedaran

Muka hadapan Sinar Harian hari ini.
Muka hadapan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Hukuman berbentuk khidmat masyarakat boleh menimbulkan kesedaran kepada golongan perokok yang ingkar.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathir Yusof berkata, mereka melakukan kesalahan pada masyarakat kerana menimbulkan risiko kesihatan, maka bentuk hukuman yang sesuai adalah dalam bentuk memberi kesedaran dan kembali 'menyumbang' kepada masyarakat.

"Khidmat masyarakat ini boleh dilaksanakan menerusi pelbagai cara, contohnya membersihkan tempat-tempat awam, mengutip sampah, mengecat bangunan atau terlibat dalam program sukarelawan.

"Cuma pelaksanaan ini memerlukan beberapa persediaan iaitu dari segi perundangan. Hukuman yang hendak dilaksanakan ini mestilah undang-undang yang jelas sebagaimana kita tahu peraturan kesalahan merokok berada di bawah Perintah-perintah Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang mana perintah ini sebenarnya di bawah Akta Makanan. Jika hendak diperkenalkan hukuman ini, perlulah pinda perintah itu dan akta berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Hukuman kerja sosial menanti pesalah rokok

Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha Kementerian Kesihatan yang kini dalam proses pertimbangan untuk mengenakan denda terhadap pesalah yang ingkar larangan tersebut iaitu dengan melakukan kerja-kerja sosial seperti mencuci tandas, mengutip sampah dan memotong rumput.

Tambahnya, buat masa ini hukuman dibenarkan adalah berbentuk denda dan penjara iaitu paling lama selama dua tahun.

"Di dalam perintah tersebut, tidak ada hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat. Jadi jika hendak dilaksanakan, perlu ada pindaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Perlu diingatkan juga, buat masa ini perintah khidmat masyarakat hanya diperkenalkan kepada pesalah-pesalah antara umur 18 hingga 21 tahun. Ini diperuntukkan di bawah Peraturan Kanun Acara Jenayah," katanya.

Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2005) menyatakan bagi kesalahan merokok di suatu tempat yang dilarang (subperaturan 11(1)), denda minimum yang boleh dikenakan ialah RM250 dan denda maksimum ialah RM500. Sabit kesalahan oleh mahkamah, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun.