MAIS lahir rasa syukur keputusan mahkamah

MAIS
MAIS
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memanjatkan kesyukuran di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman ke atas Fatwa Liberalisme dan Pluralisme Agama yang diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada Julai 2014.

Pengerusi Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam kenyataannya, di sini hari ini berkata, pihaknya kekal tegas dengan pendirian bahawa fatwa yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor seharusnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara berkenaan kerana ia berkaitan dengan hukum syarak.

"Pihak Mais juga menasihatkan semua orang Islam di Selangor untuk mematuhi semua fatwa yang telah diwartakan terutama berkaitan dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar kerana tindakan melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah merupakan kesalahan di bawah Sesyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya.

Tambah Mohammed Khusrin, pihak Mais mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua umat Islam yang memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan Mais, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Kerajaan Selangor.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mencabar keputusan Mais yang mengisytiharkan pertubuhan tersebut sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Forum SIS (Malaysia) pada 31 Oktober 2014 memfailkan permohonan bagi memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS itu yang menyatakan, organisasi itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang kononnya “berpegang dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama” sebagai “sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.

Pihak pemohon juga memohon perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa dan MAIS melalui fatwa tersebut yang mengarahkan sekatan dibuat ke atas laman-laman sosial adalah bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama

Artikel Berkaitan: