Jadi ahli perniagaan, pelabur yang bersih: Dr Mahathir

Dr Mahathir pada mesyuarat delegasi Malaysia-Vietnam di Pejabat Perdana Menteri hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Mahathir pada mesyuarat delegasi Malaysia-Vietnam di Pejabat Perdana Menteri hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

HANOI - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan di serata dunia supaya ‘bersih’ dan menjadi ahli perniagaan dan pelabur yang dihormati.

Beliau berkata ahli perniagaan Malaysia kini maju dan dihormati di serata dunia.

"Kita harus kekalkan itu (ahli perniagaan yang dihormati) dengan menjalankan perniagaan secara betul.

"Kita tahu salah satu masalah yang kita hadapi ketika melakukan perniagaan di negara asing ialah rasuah. Godaan untuk merasuah adalah kuat, tetapi tolong hindari itu.

"Rakyat Malaysia hendaklah menjadi ahli perniagaan yang bersih dan ia bukan bergantung kepada rasuah tetapi dengan menyediakan perkhidmatan yang bagus, berkelakuan baik dan mesra,” katanya ketika sessi dialog dengan ahli perniagaan Malaysia dan pelabur yang melibatkan 27 buah syarikat yang beroperasi di Vietnam.

Dr Mahathir juga menggesa ahli perniagaan Malaysia dan pelabur yang beroperasi di negara asing supaya menyumbang terhadap ekonomi negara.

Sementara itu Dr Mahathir berkata negara jiran yang kaya dan makmur akan menjadi rakan perniagaan yang baik kepada Malaysia.

Oleh itu beliau menyeru ahli perniagaan Malaysia dan pelabur supaya memahami cara negara berkenaan menjalankan segala sesuatu, peraturan serta undang-undangnya agar berpeluang mengembangkan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir tiba di Hanoi Isnin malam bagi lawatan rasmi tiga hari ke negara republik sosialis itu atas undangan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Turut hadir Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Vietnam Shariffah Norhana Syed Mustaffa. - Bernama