Jangan sia-siakan bantuan kerajaan: Sahruddin

Datuk Dr Sahruddin Jamal
Datuk Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

PAGOH - Para usahawan tani yang berpeluang menerima khidmat bantuan di bawah kerajaan negeri diingatkan agar bijak memanfaatkan insentif diterima.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ini berikutan pelbagai bantuan telah disalurkan dengan membabitkan nilai peruntukan tertentu agar kumpulan itu berpeluang meningkatkan hasil pendapatan mereka seterusnya memperluaskan bidang perniagaan masing-masing.

Menurutnya, bagaimanapun masih terdapat sebahagian penerima gagal memanfaatkan insentif berkenaan apabila menjual semula alatan atau mesin yang telah diberikan.

“Kerajaan Johor sejak dahulu lagi komited membantu para usahawan dalam meningkatkan kemahiran dan pendapatan mereka melalui khidmat bantuan yang ditawarkan.

“Selama 25 tahun, kerajaan negeri sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan usahawan Johor. Namun, ada sebahagian daripada mereka ini yang mungkin terlupa mengenai tujuan mesin ini diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Bantuan Perintis Keusahawanan Johor Peringkat Negeri Tahun 2019 di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam. Hadir sama

Pengarah Pertanian Johor, Hishamuddin Ahmad dan Pegawai Daerah Muar, Mohd Haffiz Ahmad.

Sahruddin berkata, semua usahawan perlu bangkit memperkasakan perniagaan mereka melalui bantuan yang telah diberikan.

“Bila kumpulan ini dah berjaya, kerajaan negeri akan komited untuk tingkatkan sumbangan. Tapi jangan lupa bila dah terima bantuan, usaha pun haruslah berganda. Saya tak nak jadi hangat-hangat tahi ayam. Macam sebelum ini, bantuan diberikan hari ini. Petang mesin tu dah rosak sebab kecuaian dan sebagainya, lepas itu esok dah jual pula.

“Justeru, saya menyeru para usahawan yang bakal menerima sumbangan hari ini agar gunakanlah sebaik mungkin. Zaman sekarang pegawai pertanian bukan susah nak didekati, ramai kakitangan daripada agensi kerajaan juga sudi membantu,” katanya.

Terdahulu, seramai 236 usahawan menerima sijil dan bantuan mesin serta kelengkapan bengkel dengan peruntukan sebanyak RM1.1juta.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, antara skop bantuan program itu juga adalah meliputi semua projek pemprosesan makanan dengan pemberian mesin dan kelengkapan bengkel selain program ini turut membangunkan projek tanah terbiar.