Keunikan Bukit Harimau Menangis

Saiful Azmi (belakang, tengah), Mohd Rahim (belakang tiga dari kanan) dan beberapa lagi peserta program bergambar bersama Ikon Pelancongan Terengganu, Mat Dan yang turut menyertai Terengganu Merdeka Hike 2019 di Bukit Harimau Menangis, Kemasik.
Saiful Azmi (belakang, tengah), Mohd Rahim (belakang tiga dari kanan) dan beberapa lagi peserta program bergambar bersama Ikon Pelancongan Terengganu, Mat Dan yang turut menyertai Terengganu Merdeka Hike 2019 di Bukit Harimau Menangis, Kemasik.
A
A
A

KEMAMAN - Kawasan pendakian bukit popular, Bukit Harimau Menangis, Kemasik di sini perlu diwartakan sebagai hutan simpan kekal negeri bagi memastikan keindahan kawasan itu kekal terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, perkara itu akan dicadangkan kepada kerajaan negeri demi melindungi sumber hutan selain untuk keperluan beriadah masyarakat setempat.

Menurutnya, kelestarian alam semula jadi di Bukit Harimau Menangis penting untuk kesejahteraan rakyat selain untuk diwarisi generasi akan datang.

“Hutan simpan kekal negeri tidak boleh diterokai atau ditebang kerana dilindungi undang-undang tetapi boleh dijadikan kawasan hutan terbuka bagi memberi kemudahan orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.

“Hutan simpan kekal negeri juga dapat dijadikan aset penting dalam menggalakkan sektor pelancongan iaitu dengan cara menarik minat pelancong asing atau tempatan untuk melihat ribuan spesies flora dan fauna,” katanya.

Peserta bersorak riang ketika berjaya tiba di atas Bukit Harimau Menangis sempena Terengganu Merdeka Hike 2019.
Peserta bersorak riang ketika berjaya tiba di atas Bukit Harimau Menangis sempena Terengganu Merdeka Hike 2019.

Beliau berkata demikian selepas menyertai acara pendakian bukit ‘Terengganu Merdeka Hike 2019’ di Bukit Harimau Menangis, Kemasik, bersama 1,000 penduduk setempat.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Rahim Rani yang turut menyertai pendakian bersetuju dengan cadangan Saiful Azmi.

Artikel Berkaitan:

“Saranan beliau sangat bernas. Apabila sebahagian kawasan di sini yang berstatus tanah kerajaan diwartakan sebagai hutan simpanan kekal, pihak jabatan ada peruntukan kewangan untuk bangunkan kawasan rekreasi ini.

“Sebelum ini Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah bangunkan Taman Eco-Rimba Air Menderu di Kampung Cabang, Kerteh untuk masyarakat Kemasik menikmati keindahan air terjun di hutan lipur serta panorama hutan,” katanya.