Pemandu lori cedera ditetak

No Image Caption
A
A
A

KULAI - Seorang pemandu lori menerima tujuh jahitan di telinga kirinya selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di Jalan Kulai - Sedenak di sini awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 31 tahun sedang memandu kenderaan tersebut untuk pulang ke rumah bersama seorang kelindan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, setibanya di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa tiba-tiba dipintas dan dihalang oleh sebuah lori lain yang datang dari arah belakang.

“Sejurus memberhentikan kenderaan, mangsa terus didatangi empat lelaki yang bersenjatakan parang sebelum kesemua mereka bertindak memecahkan cermin kiri, kanan dan hadapan lori tersebut.

“Salah satu daripada suspek kemudian bertindak menetak mangsa beberapa kali menggunakan parang di bahagian tangan kiri, bahu kiri dan telinganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, ketika kejadian kelindan lori iaitu lelaki berusia 27 tahun sempat melarikan diri dan bersembunyi dalam kawasan semak berhampiran lokasi berkenaan.

“Rakan mangsa yang juga kelindan turut bertindak menghubungi majikannya ketika sedang bersembunyi dalam semak berhampiran kawasan itu.

“Dia kemudian kembali ke lori untuk melihat keadaan mangsa sebelum membawanya membuat laporan di Balai Polis Kelapa Sawit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan semua suspek yang dianggarkan berusia 20-an.

“Kesemua suspek sedang dikesan. Kita juga akan jalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif sebenar serangan ini.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia sendiri tidak tahu punca semua suspek terbabit nekad bertindak sedemikian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.