Dua lelaki tokan dadah ditahan

Dadah jenis pil kuda dan syabu yang dirampas daripada tiga suspek.
Dadah jenis pil kuda dan syabu yang dirampas daripada tiga suspek.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan apabila kereta dinaiki terbabas selepas dikejar sejauh 2km oleh polis dalam serbuan di Jalan Kampung Alor Stol, Tanah Merah Jumaat lalu.

Buruh berusia 34 dan 31 tahun itu ditahan bersama 33 gram (g) syabu serta 4,120 pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM46,150.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, bertindak atas maklumat mengenai pengedaran dadah, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta Jabatan Siasatan Jenayah Tanah Merah mengintip sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik dihampiri polis, pemandunya bertindak memecut kenderaan dengan laju menyebabkan anggota mengejar mereka untuk pemeriksaan sebelum kereta berkenaan terbabas sejauh 2km.

"Mereka kemudian keluar dari kereta bertujuan melarikan diri, namun ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan dalam kereta menjumpai beg berzip di atas tempat duduk penumpang hadapan di dalamnya mengandungi dadah dan satu bungkusan berpita pelekat di bawah tempat duduk pemandu juga mengandungi dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Menurutnya, beg berzip berwarna hitam tersebut mengandungi 120 biji dadah dipercayai pil kuda dan lima plastik syabu, manakala bungkusan dijumpai di bawah tempat duduk pemandu itu pula berisi pil kuda.

“Hasil siasatan awal, suspek mendedahkan bekalan dadah tersebut diperoleh dari seorang individu yang tinggal di Chabang Empat Tok Mek Ngoh, Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua suspek positif urin dengan seorang daripada mereka mempunyai lima rekod lampau berkait dadah.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tiga lelaki berusia 26 hingga 56 tahun ditahan selepas penemuan 1,800 pil kuda bernilai RM18,000 dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Alor Pasir Tanah Merah kelmarin.

“Mereka pula memberitahu dadah tersebut diperoleh daripada seorang lelaki warga Thailand di kawasan Pengkalan Gaji, Rantau Panjang.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai rekod lampau dadah dengan dua daripada mereka positif dadah.

"Mereka ditahan reman selama enam hari bermula 24 Ogos sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.