Belasah isteri, anak sebab usik telefon bimbit

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamak membelasah isteri dan anak lelakinya hanya kerana tidak berpuas hati selepas mendapati telefon bimbitnya diusik dalam kejadian di Jalan Pasir Panjang di sini, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku selepas lelaki berusia 40-an itu tiba-tiba naik angin sebelum menuduh isterinya berusia 43 tahun ada mengusik telefon bimbitnya tanpa pengetahuan.

Menurut sumber, meskipun dinafikan oleh mangsa, suspek tetap berkeras menuduhnya sebelum berlaku pertengkaran mulut.

"Tanpa memberi ruang untuk mangsa menjelaskan hal yang sebenar, suspek terus memaki hamun wanita itu kerana tidak berpuas hati telefon bimbitnya diusik.

"Gagal mengawal amarahnya, suspek kemudian bertindak menendang pinggang mangsa hingga mangsa rebah.

"Tidak sanggup melihat tindakan suspek, anak lelaki mereka yang turut berada di rumah cuba membantu bagi melindungi ibunya daripada terus dipukul tetapi dia turut dibelasah selain digigit di badan oleh suspek," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut sumber lagi, melihatkan keadaan suspek yang semakin agresif seperti sudah dirasuk, dua beranak terbabit mengambil keputusan keluar dari rumah kerana bimbangkan keselamatan diri mereka.

Katanya, susulan kejadian itu, wanita berkenaan mengalami cedera ringan di bahagian badan manakala anak lelakinya mengalami luka di bahagian dada akibat digigit suspek.

Artikel Berkaitan:

“Suspek turut menghantar pesanan ringkas kepada mangsa memaklumkan mahu mengambil semua barang di dalam rumah mereka untuk dijual.

"Mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, sehari selepas kejadian untuk tindakan lanjut kerana bimbang keselamatan diri dan anak pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan sudah menahan lelaki terbabit untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman selama empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.