Carcosa Seri Negara tidak akan dijual

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi jaminan bangunan Carcosa Seri Negara yang berusia setengah abad tidak akan dijual.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Isham Ishak berkata, kedua-dua bangunan, Carcosa dan Seri Negara, tidak mungkin dirobohkan kerana ia adalah bangunan warisan yang dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Ia tidak dibenarkan untuk dijual. Kementerian akan membangunkan semula dan memelihara tapak bersejarah milik kerajaan itu sebagai tarikan pelancongan yang baharu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu mengambil alih Carcosa Seri Negara daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada Mei lalu.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya untuk menjalankan analisis forensik bagi memeriksa keselamatan bangunan yang terletak di kawasan seluas 33 ekar (13.35 hektar) itu," katanya.

Kajian forensik tersebut akan siap pada akhir tahun ini bagi membolehkan kementerian mengeluarkan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) untuk membuka tender projek pembangunan semula di Carcosa Seri Negara.

Sinar Harian hari ini melaporkan Carcosa Seri Negara dipercayai bernilai lebih RM1 bilion itu dilaporkan terbiar dan semakin usang dimamah usia.

Pakar sejarah mencadangkan kerajaan memulihara dan membaik pulih rumah agam bersejarah itu memandangkan bangunan tersebut pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 sekali gus berkait rapat dengan kemerdekaan negara lima hari sahaja lagi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Carcosa Seri Negara bakal lenyap

‘Carcosa makin buruk sejak kami keluar’