'Halang anak sekolah kerana protes jawi tindakan bodoh sombong'

Tangkap layar Facebook Syed Saddiq Syed yang mengkritik tindakan Sekat.
Tangkap layar Facebook Syed Saddiq Syed yang mengkritik tindakan Sekat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Pasukan Tindakan Seni Khat (Sekat) mahu meyakinkan ibu bapa berhenti menghantar anak-anak mereka sebagai tanda protes terhadap pelajaran jawi di sekolah jenis kebangsaan dianggap bodoh sombong.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu sanggup menghalang anak mereka mendapatkan pendidikan hanya kerana takut subjek yang hanya melibatkan tiga muka surat.

"Sanggup menghalang anak daripada mendapat pendidikan hanya kerana takut tiga muka surat berkenaan jawi yang tidak dimasukkan ke dalam peperiksaan dan sudah pun menjadi pilihan.

"You cannot get more bodoh sombong than this (Anda tidak boleh menjadi lebih bodoh sombong daripada ini)," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Sekat menggesa Kementerian Pendidikan menangguhkan pelajaran jawi atau khat kepada murid sekolah vernakular sehingga mendapat jawapan yang jelas mengenai masalah itu.

Setiausaha Sekat, Arun Dorasamy berkata, kumpulan itu sedang berusaha mengadakan dialog dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian baik mengenai perkara berkenaan.

Arun berkata, sekiranya permintaan untuk mengadakan dialog tidak dipenuhi, kumpulan itu akan meyakinkan ibu bapa untuk berhenti menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk meneruskan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) mulai tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Penggunaan khat, tulisan jawi di sekolah boleh diteruskan: PM

Mazlee jawab 10 soalan berkenaan tulisan khat dalam Bahasa Melayu