BNM edar 15.5 juta salinan Buku Wang Saku

Ahmad Samsuri (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Pameran LATerasi Kewangan, sambil disaksikan Abu Hassan (kiri) dan Datuk Lat.
Ahmad Samsuri (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Pameran LATerasi Kewangan, sambil disaksikan Abu Hassan (kiri) dan Datuk Lat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengedarkan hampir 15.5 juta salinan Buku Wang Saku sejak tahun 1999 sehingga kini, bagi meningkatkan tahap celik kewangan kepada pelajar sekolah.

Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, edaran kepada lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara itu bagi membantu para pelajar menjejaki perbelanjaan dan membimbing mereka menguruskan wang saku dengan berkesan.

Menurutnya, sambutan hangat terhadap Buku Wang Saku itu turut didorong oleh karikatur lakaran kartunis popular, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat yang menterjemahkan topik-topik yang kadangkala sukar difahami menjadi lebih menarik dan mudah difahami.

“Karikatur-karikatur lakaran Datuk Lat menerusi Buku Wang Saku telah berjaya menarik perhatian para pelajar, guru-guru dan ibu bapa di mana buku ini digunakan secara meluas sebagai satu alat untuk menjejak kewangan mereka, memupuk tabiat menyimpan dan seterusnya menggalakkan pengurusan kewangan yang berhemah.

“Hasil karya beliau telah menyentuh pelbagai aspek pengurusan kewangan seperti simpanan, apakah bezanya antara keperluan dan kehendak, mengelakkan pembaziran dan lain-lain lagi yang disampaikan melalui visual yang kreatif serta menghiburkan.

Antara lakaran karikatur oleh Datuk Lat dalam Buku Wang Saku.
Antara lakaran karikatur oleh Datuk Lat dalam Buku Wang Saku.

“Karikatur-karikatur ini digarap dengan intipati menarik yang memberi gambaran kehidupan sebenar kepelbagaian masyarakat di Malaysia daripada segi bangsa, budaya dan tradisi. Selain itu, karya beliau juga memberikan impak positif dalam mempromosikan keharmonian sosial dan nilai-nilai murni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran LATerasi Kewangan yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Pameran LATerasi Kewangan itu merupakan pameran karikatur hasil karya tersendiri Datuk Lat yang diterbitkan dalam 14 siri Buku Wang Saku keluaran BNM dari tahun 1999 sehingga tahun 2012.

Disebabkan sambutan dan maklum balas yang memberangsangkan, pameran ini kemudiannya dijadikan sebagai satu ‘pameran bergerak’ merentasi seluruh negara sejak tahun 2016.

Pameran LATerasi Kewangan ini akan berlangsung sehingga Februari 2020 di Muzium Negeri Terengganu.