Sultan Kedah hargai pengorbanan anggota keselamatan

Sultan Sallehuddin bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena hari keputeraan Sultan Kedah, di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena hari keputeraan Sultan Kedah, di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan terima kasih kepada semua anggota pasukan keselamatan yang berkorban memelihara ketenteraman dan keselamatan negara khususnya Kedah tanpa mengira waktu.

Baginda bertitah, tugas dan tanggungjawab anggota keselamatan bukan sahaja berdepan cabaran secara konvensional, namun termasuk jenayah rentas sempadan seperti terroris dan ekstremisme.

“Kita perlu sedar dan ingat keamanan yang kita kecapi hari ini adalah hasil dari perjuangan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan,” titah Sultan Sallehuddin pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-77 hari keputeraan Sultan Kedah, di Istana Anak Bukit hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sultan Sallehuddin juga mahu rakyat Kedah bersatu hati dan tenaga bagi merealisasikan hasrat memajukan negeri ini.

“Perpaduan merupakan kunci utama untuk keamanan dan kemakmuran negeri. Kita perlu bersatu hati menentang segala bentuk ancaman dan provokasi, yang cuba mengganggu goyah pentadbiran negeri,” titah baginda.

Baginda berharap kepimpinan kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dapat memacu prestasi dan meletakkan Kedah di mercu kegemilangan pada masa hadapan.

Sultan Sallehuddin turut menyarankan sektor pelancongan diberikan lebih tumpuan kerana berpotensi tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Pulau Langkawi terkenal di seluruh dunia, beta harap keindahan alam semula jadinya dilestarikan dan menyarankan Langkawi dijadikan pulau rendah karbon bagi mengekalkan statusnya antara 10 pulau peranginan terbaik dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah agar pelancongan di tanah besar juga diberi penekanan, dengan mempromosi produk pelancongan sedia ada seperti Kota Kuala Kedah, Gunung Jerai, Gua Gunung Keriang, Tree Top Walk, Sungai Batu, serta Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong.

“Dalam mengejar kemajuan, aspek pemuliharaan alam semula jadi jangan diabaikan. Ini penting dalam menjamin kualiti persekitaran yang baik demi kesejahteraan rakyat. Beta harap pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengelak berlakunya pencemaran,” titah baginda.

Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dikurnia Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) membawa gelaran Datuk Seri DiRaja.
Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dikurnia Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) membawa gelaran Datuk Seri DiRaja.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan akan kepentingan hutan dan biodiversiti yang perlu diberi perhatian serius.

“Ini bagi menjamin kelangsungan kepelbagaian spesis dan keharmonian ekosistem dikekalkan. Kedah telah lama berkorban bagi memastikan bekalan air bersih terpelihara dengan mengurangkan aktiviti pembalakan, lantaran itu hasil negeri berkurang. Diharapkan kerajaan Persekutuan beri pertimbangan membantu biayai projek pembangunan di negeri ini,” titah baginda.

Baginda juga berharap Kedah dibangunkan berdasarkan potensi dan kekuatan dimiliki melalui Pelan Pembangunan Negeri 2035.

“Beta harap agenda pembangunan dilaksanakan dengan seimbang supaya daerah seperti Sik, Baling, Padang Terap dan Bandar Baharu membangun seiring dengan daerah lain di Pantai Barat Kedah,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin juga yakin pencapaian pelaburan pada suku pertama tahun ini, RM7.75 bilion adalah petanda keyakinan pelabur terhadap kerajaan negeri selain persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Beta harap kerajaan Persekutuan dapat bantu Kedah memperkasakan infrastruktur sokongan di kawasan projek berimpak tinggi,” titah baginda.

Baginda berharap penambahbaikan sistem jaringan jalan raya dapat dilakukan selain membuka kawasan pembangunan baharu seperti jalan pesisir pantai dan jalan luar bandar.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan dukacita atas bencana ribut yang melanda Kedah, baru-baru ini.

“Beta dukacita atas kejadian ribut sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan mengorbankan nyawa.

"Alhamdulillah, semua pihak mengambil tindakan segera membantu mangsa bencana. Kerjasama seperti inilah diharapkan dalam apa jua keadaan,” titah baginda.