Koperasi Srikandi Jaya Berhad bakal dilancarkan tahun ini

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun (tiga, kiri) yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beramah mesra dengan usahawan Srikandi pada majlis ramah mesra hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun (tiga, kiri) yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beramah mesra dengan usahawan Srikandi pada majlis ramah mesra hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

BEAUFORT - Koperasi Srikandi Jaya Berhad akan dilancarkan tahun ini sebagai inisiatif untuk membantu usahawan dalam kalangan srikandi di negara ini.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, koperasi yang dijangka dilaksanakan Oktober itu kini menanti kelulusan sijil pendaftaran daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

"Koperasi ini akan menjadi medium untuk membantu srikandi yang mempunyai produk yang boleh diketengahkan," katanya selepas ramah mesra dan sesi lawatan di peringkat zon tiga di Dewan Datuk Seri Mohd Dun Banir di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Beaufort merangkap Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, kementerian turut mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airport Berhad untuk meletakkan produk usahawan khususnya dari luar bandar di enam buah lapangan terbang antarabangsa di negara ini.

Menurutnya, program keusahawanan perlu dipertingkatkan dalam kalangan ahli srikandi selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.

Pada majlis itu, Rina turut menerima sebanyak 135 borang keahlian Srikandi Bersatu zon tiga meliputi daerah Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.

Terdahulu, Rina mengadakan lawatan dan penyerahan simbolik kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Muhibbah di sini. - Bernama

Artikel Berkaitan: