Rombak Kabinet: Waytha Moorthy terima apa sahaja keputusan

Waytha Moorthy merasmikan Program Lukisan Kanak-Kanak bertema 'Colour of Unity' anjuran Tech Food Ingredients Sdn Bhd dan Magpie Melaka di Elements Mall hari ini.
Waytha Moorthy merasmikan Program Lukisan Kanak-Kanak bertema 'Colour of Unity' anjuran Tech Food Ingredients Sdn Bhd dan Magpie Melaka di Elements Mall hari ini.
A
A
A

MELAKA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy bersedia dengan apa sahaja keadaan sekiranya berlaku sebarang rombakan Kabinet yang membabitkan portfolio dipegangnya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, perkara itu terpulanglah kepada budi bicara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Terpulanglah kepada Perdana Menteri, saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana perkara itu terletak di bawah budi bicara mutlak beliau (Dr Mahathir).

"Namun, kita mesti bersedia untuk segala keadaan (rombakan portfolio)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai spekulasi Perdana Menteri dijangka merombak sekurang-kurangnya tiga portfolio berserta menteri dalam Kabinet sedia ada.

Antara portfolio yang menjadi tumpuan adalah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang dipegang Waytha Moorthy, Pembangunan Luar Bandar yang dipegang Datuk Seri Rina Harun dan juga Pendidikan yang kini dipegang Dr Maszlee Malik.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Perubahan dalam Kementerian Pendidikan hanya khabar angin'

Waytha Moorthy berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Lukisan Kanak-Kanak bertema 'Colour of Unity'anjuran Tech Food Ingredients Sdn Bhd dan Magpie Melaka di Elements Mall di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Tech Food, R Narendranath.

Kelmarin, Perdana Menteri mengesahkan tiada rombakan Kabinet dalam masa terdekat seperti yang dispekulasikan beberapa pihak khususnya, media tempatan.

Sebaliknya beliau berkata, perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.