PRN: 'Party man' terima apa jua keputusan pucuk pimpinan

MUHAMMAD FAIZ
MUHAMMAD FAIZ
A
A
A

BACHOK - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan parti berhubung pemilihan calon bagi kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut menegaskan beliau adalah orang parti dan akan patuh pada setiap keputusan yang dibuat.

“Saya sebagai orang parti saya akan menerima apa-apa keputusan dan akan menggalas apa-apa juga amanah yang diberikan.

“Saya tegaskan, saya 'party man',” katanya pada Program Rahmah Mesra Madani - Libat Urus Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Nelayan Negeri Kelantan di Kemasin di sini pada Ahad.

Muhammad Faiz berpengalaman luas dalam bidang guaman dan menyandang ADUN itu selama sepenggal.

Beliau kini membuka firma guamannya sejak 2008 dan dilantik sebagai Pengerusi LKIM sehingga kini.

Muhammad Faiz yang terkenal dalam memperjuangkan wadah reformasi merupakan anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.

Beliau dilihat bakal pimpinan masa hadapan dalam menerajui parti Amanah setelah dilantik Ahli Jawatankuasa Amanah pada tahun 2019 dan pernah menggalas tanggungjawb sebagai Timbalan Ketua Pemuda Amanah selama empat tahun.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Faiz daripada Pakatan Harapan menang dengan mendapat 9,708 undian ketika menentang Muhammad Fauzi Yusoff daripada Pas yang mendapat 6,727 undi. Majoriti undi sebanyak 2,981.