Berdosa jika cuai jaga kebersihan: MB Kelantan

Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada penduduk yang sama-sama menjayakan gotong-royong hari ini.
Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada penduduk yang sama-sama menjayakan gotong-royong hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyedarkan rakyatnya bahawa berdosa sekiranya kecuaian menjaga kebersihan telah menyebabkan orang lain menanggung derita.

Dalam konteks menjaga kebersihan dan menangani wabak denggi di Kelantan, Ahmad berkata, ia sesuatu yang tidak baik seandainya kediaman kita telah menjadi pembawa musibah serta penyebar kepada wabak tersebut.

Lagipun katanya, menjaga kebersihan adalah sinonim dengan dengan Islam dan amat mendukacitakan jika rakyat masih teragak-agak untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam hal sebegini.

"Kita tahu, denggi dan penyakit kencing tikus berkait rapat dengan kotor. Kita kena takut jika kita menjadi sebahagian daripada penyebar penyakit kepada jiran-jiran.

"Jika disebabkan kita orang lain boleh sakit dan sebagainya sesungguhnya ia satu perbuatan yang berdosa.

"Jadi ambo nak ajak semua untuk bersama-sama ambo mendidik ahli keluarga, anak-anak kita supaya cakna kepada kebersihan. Ia juga dituntut dalam Islam," katanya dalam ucapan sempena Karnival Kelantan Bersih Sihat dan Perangi Denggi di Pasar Besar Kedai Buloh, hari ini.

Majlis gotong-royong peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bermula jam 7 pagi tu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof.

Turut sama, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Noor Ihsan Che Mat dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad memberitahu media, beliau berasa kecewa sekiranya usaha dilakukan kerajaan untuk menjaga kebersihan negeri dan juga mengurangkan penyakit demam denggi tidak disahut oleh rakyat.

"Memang tugas saya sebagai menteri besar(jaga rakyat), tetapi jika keseorangan tanpa sokongan semua, saya tidak larat untuk mewujudkan negeri yang bersih dan selesa untuk rakyat," katanya.

Katanya, perkembangan semasa mengenai denggi dan bahana tidak mengutamakan kesihatan termasuk usaha dilakukan kerajaan telah dihebahkan menerusi pelbagai medium termasuk media massa.

"Jadi jika masih ada lagi yang lalai dan tidak ambil hirau langsung dengan keadaan rumah sendiri kotor dan biarkan air bertakung, ini yang mendukacitakan. Kalau ada yang belum peka ini yang kita sedih," katanya.

Katanya juga, program gotong-royong yang dianjurkan dalam skala besar hari ini perlu dipergiatkan di seluruh kawasan memandangkan Kelantan tersenarai sebagai negeri kelima tertinggi wabak denggi.

"Hidupkan semula program gotong-royong, bukan sahaja melibatkan orang ramai tetapi melibatkan kerjasama dengan jabatan-jabatan.

"Kita akan kembangkan ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini semua untuk kebaikan rakyat," katanya.