Kerajaan tumpu tingkat pendapatan rakyat sejak RMK5: Daim

 Tun Daim Zainuddin - Foto fail Bernama
Tun Daim Zainuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

TUMPAT - [DIKEMASKINI] Kaedah pengiraan kemiskinan di negara ini tidak perlu mengikut kajian barat kerana Malaysia berada di landasan yang betul dengan meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) lagi.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, kajian oleh pegawai kanan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston itu hanya pandangannya.

"Dia (Philip Alston) datang Malaysia, duduk di hotel-hotel besar, dia catit penderitaan rakyat negara ini tetapi dia pernah datang ke Kelantan tak, pernah datang ke Tumpat tak.

"Tak datang pun, mat salleh ini hanya bagi pandangan mereka tetapi kerajaan adakan RMK5 dengan tumpuan untuk tingkatkan pendapatan rakyat.

"Takkanlah tidak ada kemajuan langsung di Malaysia kerana rakyat sekarang hidup lebih selesa berbanding dulu, dulu mana ada jalan macam sekarang, dulu naik basikal, sekarang penuh dengan kereta, takkan tak ada kemajuan di Malaysia," katanya pada sidang media pada Karnival Koperasi dan Bekwoh Rakyat 2019 di Pantai Geting hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam Musa dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh.

Pegawai Kanan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston dalam misi kajiannya di Malaysia selama 11 hari di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan, Alston mendapati tahap kemiskinan lebih realistik dalam negara adalah sekitar 15 hingga 20 peratus.

Baginya keyakinan Malaysia bahawa negara ini mempunyai kadar kemiskinan paling rendah adalah tidak tepat kerana kaedah pengiraan kemiskinan yang digunakan lebih sesuai untuk era 1970-an.

Artikel Berkaitan:

Tun Daim berkata, kerajaan sejak dari dulu lagi berusaha tingkatkan pendapatan rakyat dan mahu kurangkan inflasi.

"Ini dasar kerajaan mahu pendapatan rakyat tinggi supaya rakyat boleh menggunakan wang dengan baik," katanya.